Joniston dalam sesi pertemuan bersama rakyat di Kg. Nadau-Pomorian.
NABALU: Kerajaan Negeri yang dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited sepenuhnya untuk mengekalkan kestabilan politik dan melaksanakan mandat kepada rakyat Sabah, kata Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau menegaskan bahawa gabungan di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor kekal bersatu dan teguh, dan sebarang cubaan untuk menggugat kestabilan Kerajaan pasti akan gagal.
Berucap dalam sesi pertemuan bersama rakyat di Kampung Nadau-Pomorian di sini hari ini, beliau juga menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri akan diadakan dalam masa terdekat.
Kerajaan GRS-PH Plus baru sahaja membentangkan Belanjawan Negeri sebanyak RM6.45 bilion, yang terbesar dalam sejarah Sabah, dan tumpuan kini adalah memastikan pelan dalam belanjawan tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Kerajaan Negeri komited untuk membawa pembangunan dan kemajuan kepada negeri dan rakyatnya.
“Kita tidak akan membiarkan mana-mana pihak yang berhasrat untuk menggugat Kerajaan Sabah dengan menggambarkan ketidaktentuan dalam negeri,” katanya disambut tepukan gemuruh.
Joniston, yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, kepimpinan negeri telah bekerja keras, dan ini terbukti dengan peningkatan ketara hasil negeri hampir RM7 bilion.
“Kerajaan Negeri bukan sahaja bekerja keras, tetapi juga sangat terbuka dan telus dalam pentadbirannya,” katanya merujuk kepada skandal rasuah yang didakwa melibatkan beberapa ADUN.
Beliau menyatakan bahawa seruan Ketua Menteri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat isu tersebut dengan jaminan bahawa Kerajaan Negeri tiada apa yang perlu disembunyikan adalah bukti ketelusan.
“Nampaknya ada pihak tertentu yang tidak dapat menerima hakikat bahawa Kerajaan Negeri yang dipimpin parti tempatan sedang berprestasi cemerlang,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa pihak yang terlibat dalam cubaan menggulingkan Hajiji pada awal 2022 mungkin berada di belakang dakwaan rasuah tersebut.
“Terdapat usaha yang dirancang rapi oleh pihak tertentu untuk memburukkan Kerajaan Negeri pimpinan Hajiji dalam harapan terdesak untuk meraih sokongan rakyat.”
Adalah menarik untuk diperhatikan bahawa sebuah parti berpangkalan di Semenanjung berada di barisan hadapan menyeru supaya Kerajaan Negeri digantikan dan Hajiji meletak jawatan sebagai Ketua Menteri.
Menyifatkan seruan tersebut sebagai tidak wajar, Joniston, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata, tidak ada sebab untuk Hajiji meletak jawatan kerana beliau mendapat sokongan penuh daripada ADUN GRS-PH.
“Tetapi saya percaya rakyat Sabah cukup bijak untuk ‘membaca permainan mereka’ dan tahu apa yang perlu dilakukan dalam pilihan raya negeri akan datang,” kata Joniston.
— WO
Add Comment