KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin kepemimpinan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sekarang mampu membawa lebih banyak kejayaan kepada pertubuhan itu.
Ini katanya, disebabkan visi dan misi jelas yang diperkenalkan menerusi Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024 serta penglibatan barisan pemimpin USIA merangkumi golongan profesional dan kakitangan berdedikasi.
Oleh itu, beliau berharap perwakilan memilih ketua dan barisan kepimpinan yang benar-benar layak menerajui USIA serta sudah terbukti mampu memikul amanah.
“Ini untuk memastikan USIA terus melangkah ke hadapan dengan lebih gemilang,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Ke-38 bagi Tahun 2023, di sini pada Jumaat.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Hadir sama Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Hj Ahmad.
Dalam pada itu, Hajiji berharap agar USIA tidak diheret dalam kancah politik kerana ia bertentangan dengan asas penubuhan dan perjuangannya.
“Kita mesti kekalkan USIA sebagai sebuah NGO Islam yang bebas politik, demi kebaikan dan masa depan ummah keseluruhannya.
“Saya yakin ahli USIA semua adalah kalangan bijak pandai dan akan menolak sebarang cubaan oleh mana-mana pihak untuk mempolitikkan pertubuhan ini,” katanya.
Add Comment