Home » Biar SPRM siasat, kerajaan Hajiji perlu terus berfungsi, kata PKR Sabah
Berita Tempatan Politik

Biar SPRM siasat, kerajaan Hajiji perlu terus berfungsi, kata PKR Sabah

Razeef Rakimin berkata, PKR Sabah sokong kerajaan Hajiji Noor berfungsi seperti biasa, selain tidak berkompromi jika SPRM dapati ada pelanggaran undang-undang.

PETALING JAYA: PKR Sabah berpandangan kerajaan Sabah perlu berfungsi seperti biasa, di sebalik desakan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor meletak jawatan atas dakwaan terkait skandal perlombongan mineral.

Ketua penerangan negeri, Razeef Rakimin, berkata ia penting agar perancangan dan pelaksanaan projek dan aktiviti kebajikan rakyat berjalan lancar.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan dengan PKR Sabah mahu pihak bersalah mesti dibawa ke muka pengadilan, jika didapati ada pelanggaran undang-undang.

“Kestabilan politik amat kritikal untuk mewujudkan ekosistem pertumbuhan ekonomi dan menarik keyakinan pelabur,” katanya dalam kenyataan.

“Kami yakin pengundi-pengundi di negeri ini amat bijaksana dan akan memilih pimpinan yang berintegriti pada pilihan raya akan datang. Biarlah mereka memilih secara demokrasi.”

Kenyataan tersebut menyusul susulan desakan Umno Sabah mahu Hajiji meletak jawatan sebagai ketua menteri berhubung dakwaan skandal tersebut.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Sabah Sufian Abd Karim, mendesak Hajiji berundur supaya siasatan kes rasuah itu yang turut terkait beberapa Adun negeri dapat dijalankan secara bebas dan telus.

Naim yang juga anak kepada Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin, turut mencadangkan agar Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan, mengambil alih jawatan ketua menteri sementara waktu.

Bagaiamanapun, Kitingan menolak desakan ini serta menyatakan sokongan terhadap Hajiji, pada masa sama mendakwa Umno Sabah cuba mencetuskan kekeliruan, perpecahan, dan spekulasi dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

— FMT