PETALING JAYA: Dengan Umno Sabah yang bukan lagi kuasa dominan seperti dahulu, parti itu berdepan risiko kekalahan lebih besar dalam PRN akan datang jika terus memusuhi sekutunya di persekutuan, kata seorang penganalisis.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Umno Sabah amat memerlukan kerjasama dengan parti-parti tempatan jika mahu mencapai prestasi baik dalam pilihan raya itu nanti.
Meskipun menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN akan datang, komponen utama PH seperti PKR menolak desakan Umno Sabah agar Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor meletakkan jawatan susulan dakwaan berlakunya skandal perlombongan.
“Parti politik mesti menunjukkan keupayaan untuk bekerjasama dalam satu gabungan. Bagi Umno Sabah, ia perlu membuktikan ia boleh bekerjasama dengan parti berasaskan negeri.
“Pilihan terbaik adalah bekerjasama dengan PH dan menunjukkan boleh bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya kepada FMT.
Azmi berkata, desakan Umno Sabah agar Hajiji meletakkan jawatan tidak berkesan memandangkan kedudukan parti itu yang lemah, terutama di DUN, selain perlu memilih pertempuran dengan lebih bijak.
Pada PRN 2020, Umno memenangi 14 kerusi tetapi kini hanya tinggal sembilan Adun di blok pembangkang DUN Sabah, selepas lima yang lain menyatakan sokongan kepada Hajiji.
“Strategi ini (untuk menyingkirkan Hajiji) tidak akan berjaya sejak awal lagi kerana GRS masih menguasai majoriti di DUN.”
GRS, Umno, PH, dan Warisan adalah sekutu dalam kerajaan persekutuan. Namun di Sabah, kerajaan negeri terdiri daripada GRS dan PH, sementara Umno Sabah berada di pembangkang bersama Warisan.
Skandal perlombongan
Sumber sebelum ini memberitahu FMT bahawa penyebaran siri video yang mengaitkan beberapa Adun Sabah dengan skandal perlombongan merupakan sebahagian daripada plot diketuai Umno untuk menjatuhkan GRS.
Umno Sabah menafikan menjadi dalang penyebaran video itu, walaupun menuntut Hajiji meletakkan jawatan dan mencabarnya untuk menyaman individu yang membocorkan video tersebut.
Semalam, PKR Sabah dilihat menyokong Hajiji dengan menyatakan bahawa kerajaan negeri perlu dibiarkan berfungsi seperti biasa sementara siasatan terhadap dakwaan skandal itu dijalankan.
Azmi berkata, Umno Sabah sepatutnya belajar daripada kegagalan Bung Moktar Radin untuk menjatuhkan Hajiji pada Januari tahun lalu. Katanya, sama seperti cubaan kali ini, Umno Sabah tidak mempunyai sokongan mencukupi.
Kata Azmi, ‘Umno Sabah kelihatan sudah hilang hala tuju’ apabila mencadangkan Hajiji digantikan oleh Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan yang juga presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Pengaruh Bung Moktar semakin merosot
Seorang lagi penganalisis politik Bridget Welsh, berpendapat pengaruh Bung Moktar semakin lemah sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Kontroversi baru-baru ini mungkin tidak dapat membantu Bung kerana terdapat desakan semakin kuat untuk menukar kepimpinan Umno Sabah.
“Pengaruh beliau tidak sekuat dahulu,” katanya.
Welsh berkata, persoalan sama ada Umno Sabah boleh mendapat manfaat daripada kontroversi skandal perlombongan itu bergantung kepada cara parti itu mengurus konflik dalaman dan dengan siapa ia akan bekerjasama pada pilihan raya nanti.
Add Comment