𝗧𝗜𝗗𝗔𝗞 𝗪𝗔𝗝𝗔𝗥 𝗕𝗨𝗕𝗔𝗥 𝗗𝗨𝗡 𝗦𝗔𝗕𝗔𝗛 𝗟𝗘𝗕𝗜𝗛 𝗔𝗪𝗔𝗟 𝗕𝗔𝗚𝗜 𝗠𝗘𝗠𝗔𝗦𝗧𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗡𝗧𝗔𝗗𝗕𝗜𝗥𝗔𝗡 𝗡𝗘𝗚𝗘𝗥𝗜 𝗦𝗧𝗔𝗕𝗜𝗟, 𝗞𝗘𝗦𝗘𝗝𝗔𝗛𝗧𝗘𝗥𝗔𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗞𝗬𝗔𝗧 𝗧𝗘𝗥𝗝𝗔𝗠𝗜𝗡 𝗗𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗡𝗚𝗛𝗢𝗥𝗠𝗔𝗧𝗜 𝗠𝗔𝗡𝗗𝗔𝗧 𝗥𝗔𝗞𝗬𝗔𝗧
1. Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah yang dipimpin Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor perlu dikekalkan sehingga tamat tempoh bagi mengekalkan kestabilan negeri, kesejahteraan rakyat dan menghormati mandat rakyat.
2. Saranan yang dikemukakan oleh PAS Sabah ini mengambilkira beberapa aspek yang memicu kegusaran rakyat sekiranya DUN Sabah dibubarkan lebih awal berdasarkan desakan yang dibuat oleh beberapa pihak yang memiliki kepentingan tertentu.
3. Belanjawan Sabah 2025 misalnya yang baru sahaja diluluskan dengan jumlah tertinggi dalam sejarah (RM6.421 bilion) disertai pelbagai inisiatif mesra rakyat akan terbantut sekiranya DUN Sabah dibubarkan lebih awal. Rancangan kerajaan negeri seperti bantuan khas RM300 sebulan buat golongan miskin, pembinaan Rumah Mesra SMJ dan bantuan RM5,000 kepada peniaga gerai kecil sudah pasti akan terganggu sekaligus memberi kesan langsung kepada rakyat yang memerlukan.
4. PAS Sabah juga melihat mengekalkan DUN Sabah sehingga tamat tempoh adalah sebagai tanda penghormatan kepada mandat rakyat yang diterima pada 2020. Pembubaran awal dianggap sebagai pengkhianatan kepada kepercayaan rakyat yang mahu melihat kerajaan yang mereka pilih mampu membuktikan kemampuan sehingga tamat penggal.
5. Sewajarnya semua pihak kembali fokus kepada isu rakyat tanpa desakan pembubaran DUN lebih awal yang mampu menyumbang kepada gangguan politik. Isu kritikal seperti pembangunan infrastruktur, pendidikan, dan ekonomi luar bandar perlu ditangani dengan sebaik mungkin, sebaliknya pilihan raya awal hanya akan mengalihkan perhatian kerajaan daripada menyelesaikan isu-isu utama rakyat yang sepatutnya fokus kepada pentadbiran.
6. PAS Sabah juga melihat dengan menolak cadangan pembubaran DUN lebih awal adalah bagi mengelakkan bebanan kewangan dan risiko bebanan perasaan kepada pengundi. Selain membebankan kewangan negara, rakyat yang sudah letih dengan politiking melampau dilihat muak dengan tindakan pihak yang mendesak DUN dibubarkan lebih awal tanpa sebab yang munasabah.
7. Tambahan lagi, buat masa kini, tiada keperluan mendesak untuk pembubaran DUN memandangkan Kerajaan Negeri Sabah tidak menghadapi masalah pentadbiran kritikal yang memerlukan pembubaran awal. Walaupun muncul isu rasuah yang diuar-uarkan, ia boleh diselesaikan melalui mekanisme sedia ada seperti SPRM tanpa perlu mengganggu kestabilan politik.
8. Tuntasnya, keputusan untuk mengekalkan DUN Sabah sehingga tamat tempoh adalah langkah yang paling bijak demi memastikan kestabilan negeri, kelancaran pentadbiran dan kesejahteraan rakyat Sabah terus terpelihara. Adapun, pandangan sesetengah pihak yang mendesak DUN dibubarkan lebih awal dilihat hanya untuk memenuhi kepentingan peribadi pihak tertentu yang jelas mengenepikan kepentingan rakyat.
Sekian, terima kasih.
𝗜𝗦𝗟𝗔𝗠 𝗔𝗗𝗔𝗟𝗔𝗛 𝗣𝗘𝗡𝗬𝗘𝗟𝗘𝗦𝗔𝗜𝗔𝗡
𝗠𝗨𝗦𝗧𝗔𝗠𝗔𝗡 𝗠𝗨𝗦𝗧𝗔𝗜𝗡,
Ketua Penerangan
PAS Negeri Sabah.
10 Disember 2024 / 9 Jamadil Akhir 1446 H
Add Comment