MATEMATIK mudah untuk memberi jawapan polemik politik Sabah di sebalik video yang tular.
Semuanya berpunca dari satu keputusan, iaitu keengganan kerajaan negeri meluluskan permohonan melombong mineral.
Kenapa kerajaan negeri tidak memberikan kelulusan? Sebabnya, kerajaan melindungi kepentingan rakyat Sabah. Kerana jumlah kawasan diminta bukan sedikit, hampir satu juta hektar.
Akibatnya, maka keluarlah sejumlah video yang dirakam secara tersembunyi ketika si pemberi maklumat bertemu dengan sejumlah orang politik berpengaruh.
Ahli perniagaan berkepentingan yang bertindak sebagai pemberi maklumat itu dirujuk sebagai `whistleblower.
Tetapi dalam konteks penulisan ini, saya merujuk pemberi maklumat itu sebagai si peniup wisel — terjemahan langsung daripada istilah `whistleblower’.
Apakah niat tersirat di sebalik tindakan si peniup wisel membuat rakaman tersembunyi? Sama-sama kita fikirkan!
Yang penting kini, Sabah terselamat daripada tragedi tiupan maut sangkakala oleh si peniup wisel dari tanah seberang.
Itulah hikmah di sebalik ketegasan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, tidak memberikan lesen melombong mineral, kerana hatinya tetap teguh merakyat.
Tindakannya itu bagai pelita menerangi kegelapan, membawa negeri ini keluar dari kemelut keraguan berkaitan isu perlombongan mineral yang penuh kontroversi.
Dalam kecelaruan isu yang kini dimanipulasi oleh para predator politik, Hajiji muncul sebagai penyelamat, memberi sinar harapan kepada rakyat dan negeri tercinta.
Ketua Menteri mengemudi kapal pemerintahan dengan hati yang penuh tekad, memastikan bahawa dasar perlombongan dilaksanakan dengan bijaksana, berlandaskan prinsip keadilan dan kemakmuran bersama.
Beliau bukan sahaja melindungi alam semula jadi negeri Sabah yang kaya dengan hasil bumi, tetapi juga menjaga kesejahteraan rakyat yang bergantung kepada keberkatan tanah pusaka ini.
Dalam menghadapi desakan pelbagai pihak dan kerakusan ekonomi, Hajiji teguh mempertahankan hak Sabah, memastikan bahawa kekayaan mineral negeri ini tidak jatuh ke tangan yang salah, supaya manfaat bumi lestari ini dapat dirasai oleh generasi masa depan.
Dengan tangan yang memegang erat amanah rakyat, Hajiji bukan sekadar melindungi kekayaan mineral, tetapi juga memelihara warisan dan maruah negeri Sabah.
Beliau seorang penyelamat yang tidak hanya muncul dalam waktu sukar, tetapi sentiasa ada untuk menjaga masa depan rakyatnya dan negeri menuju maju jaya.
Sambil menegaskan pendirian `nothing to hide’, Hajiji membuat keputusan secara berhati-hati, untuk memastikan rakyat dan alam sekitar sentiasa terjaga.
Keberanian dan ketegasan beliau telah menempatkan negeri ini ke landasan kukuh, membawa Sabah ke arah masa depan yang gemilang, penuh cahaya dan harapan yang takkan padam, biarpun ditiup deras berulang kali.
Hakikatnya, Sabah terselamat daripada tragedi tiupan wisel maut sangkakala, dan Hajiji terus merakyat!.
Add Comment