Home » Perjuangan Dr Jeffrey Konsisten – Terrence mengulas kenyataan Fuziah
Kenyataan Media Politik

Perjuangan Dr Jeffrey Konsisten – Terrence mengulas kenyataan Fuziah

Terence Sinti merupakan Setiausaha Penganjur STAR Sabah dan Ketua Bahagian STAR N.15 Kiulu

Kenyataan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh yang menganggap Dr Jeffrey Kitingan sebagai seorang yang tidak konsisten dan hanya lantang bersuara setiap kali pilihanraya negeri semakin hampir, sama sekali tidak benar.

Dr Jeffrey amat konsisten dalam perjuangannya, sehingga pernah dianggap gila kuasa dan dipenjara hanya kerana bersuara untuk menuntut hak dan autonomi Sabah.

Ini bukanlah disebabkan kita akan menghadapi pilihanraya atau tidak. Beliau telah berulangkali menegaskan dan menjelaskan bahawa Kerajaan Sabah perlu ditadbir dan diperintah oleh parti-parti tempatan, dan Kerajaan Sabah kemudiannya akan bekerjasama dengan siapapun pihak yang menguasai Kerajaan Pusat.

Seperti yang disuarakan oleh Dr Jeffrey, kita mahu agar Sabah ini mempunyai kuasa dan autonomi politik untuk membuat keputusan tanpa merujuk kepada Malaya.

Timbalan Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Jeffrey G. Kitingan yang juga merupakan Presiden Parti Star.

 

Kita tidak mahu sikit-sikit rujuk Malaya, seolah-olah kita tidak mampu mengurus Sabah dan terpaksa bergantung kepada parti dari Malaya.

Kita dapat lihat bagaimana kesan pendirian parti-parti tempatan Sarawak yang telah menolak parti-parti Semenanjung, akhirnya mentadbir sendiri sehingga membawa lonjakan kemajuan dan ekonomi yang amat memberangsangkan dan menguntungkan Sarawak.

Saya mahu mengingatkan bahawa antara perjuangan Dr Jeffrey yang konsisten ialah tuntutan 40 peratus hak kewangan Sabah, yang mana tercatat dalam Hansad Dewan Undangan Negeri Sabah bertarikh 19 June 2013, ketika beliau masih sebagai pembangkang.

Begitu juga dengan tuntutan-tuntutan berkaitan MA63 yang sudah berdekad-dekad lamanya, dan hak 35 peratus kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

Semua tuntutan berkisar kepada autonomi dan hak-hak Sabah adalah kenyataan berasas untuk Sabah dan juga Sarawak, wajib diperjuangkan sehingga dimiliki dan menjadi kenyataan sepenuhnya.

Kini atas perjuangan dan pendedahan oleh Dr Jeffrey, dengan pertumbuhan kesedaran di kalangan para pemimpin Sabah dan Sarawak, parti-parti tempatan semakin lantang dan berani menuntut.

Dalam ucapan beliau semasa pelancaran Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) baru-baru ini, beliau menekankan dan menegaskan kepentingan Sabah dengan slogan “Rumah kita, kita jaga”, dan konsep itu akan dengan sendirinya mengkategorikan kedudukan seseorang atau pemimpin berdasarkan kepada pendirian dan kecenderungan mereka.

Usul Fuziah mencabar Dr Jeffrey keluar daripada kerajaan Persekutuan adalah tidak berasas kerana peringkat Kerajaan Negeri berpendirian tegas iaitu akan kekal bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

*Terence Sinti merupakan Setiausaha Penganjur STAR Sabah dan Ketua Bahagian STAR N.15 Kiulu

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment