KENINGAU: Isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datin Tengku Adlina Marita Tengku Adlin melaksanakan satu program iaitu, ‘Projek Santai’ bersama komuniti wanita setempat dengan menghasilkan bakul seni dan kraftangan.
Program itu dirangka khusus untuk mendidik dan menyemai kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dan antara aktiviti utama ialah menghasilkan bakul seni dan kraftangan yang menjadi tumpuan peserta, sebagai alternatif kreatif menggantikan penggunaan plastik semasa membeli-belah.
Inisiatif berkenaan selaras dengan usaha bagi memelihara alam sekitar sambil memperkasa komuniti wanita.

Keperibadian ramah dan sifat penyayang Tengku Adlina sepanjang program ini mencuri hati para peserta dan rata-rata yang terlibat memuji dedikasi beliau dalam mendekati masyarakat dan menggalakkan perpaduan serta keprihatinan komuniti.
“Program ini bukan sahaja menghiburkan serta menyeronokkan tetapi juga memberi peluang kepada kami mempelajari sesuatu yang baru dan bermanfaat,” kata seorang peserta dengan penuh rasa syukur.
Peserta lain turut menyuarakan penghargaan dan harapan mereka agar lebih banyak program seumpama ini dapat dianjurkan dan berharap ia diteruskan lagi pada masa akan datang.
Platform kreativiti dan perpaduan projek santai ini membuktikan bahawa pendekatan santai tetapi bermakna dapat memberikan impak besar kepada komuniti.
Ia menjadi platform untuk memupuk kreativiti, meningkatkan kesedaran terhadap isu alam sekitar, dan memperkukuh hubungan sosial antara wanita pelbagai latar belakang.

Turut hadir memberi sokongan adalah ADUN Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, yang menyatakan komitmen berterusan untuk menyokong program komuniti sebegini demi manfaat bersama.
“Semoga inisiatif seperti Projek Santai ini terus diperkasakan, menjadi contoh teladan dalam memupuk masyarakat yang berdaya maju, prihatin, dan harmoni, ” katanya.
— TAMAT
Add Comment