Kota Kinabalu: Sebuah projek perumahan pelajar yang moden dan komprehensif, dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.3 bilion, bakal dibangunkan di atas tanah seluas enam hektar di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dijangka bermula hujung tahun ini.
Ia disasarkan untuk dibina di lokasi strategik berdekatan Fakulti Perubatan UMS di Kampung Bogoon, di sini, di mana 1,610 unit pangsapuri akan dibina, menempatkan sehingga 6,732 pelajar tempatan dan antarabangsa serta kakitangan universiti.
Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) dalam kenyataan berkata, projek itu akan direalisasikan melalui usahasama antara Muis dan sebuah syarikat berpangkalan di Sarawak, Zecon Berhad, melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di sini pada Selasa, yang diluluskan oleh Kabinet Sabah pada 12 Nov 2024.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor, menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Muis dan Zecon Berhad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.
Mewakili Muis menandatangani MoU itu ialah Yang Dipertua Datuk Seri Yahya Hussin, dan Setiausaha Muis Ramlan Awang Ali, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Muis, manakala Zecon diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulannya merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Pengerusi Zecon Engineering Sabah Sdn Bhd, Datuk Abdul Kadir Rosline.
Kenyataan itu juga menyatakan hak milik tapak tanah untuk projek itu kekal di bawah Muis, dengan konsep pembangunan Bina, Pajak, Selenggara dan Pindah (BLMT).Projek itu juga akan mewujudkan 600 peluang pekerjaan dalam sektor profesional, pentadbiran dan buruh.
“Ia akan dilaksanakan dalam tiga fasa di mana Fasa 1 melibatkan pembinaan perumahan bagi pelajar dan kakitangan dengan fokus kepada keselesaan dan praktikal.
“Manakala Fasa 2 melibatkan pembangunan berteraskan komuniti yang merangkumi masjid, tadika dan taska; dan Fasa 3 dirancang sebagai hab komersial dengan lot kedai, perkhidmatan pangsapuri, perpustakaan, gimnasium, kafe dan perkhidmatan penting untuk meningkatkan kemudahan.
“Pembangunan projek ini didedikasikan untuk memupuk kecemerlangan akademik, perkembangan peribadi dan hubungan komuniti,” mengikut kenyataan Zecon di sini pada Selasa.
Zecon Berhad mempunyai pengalaman luas dalam sektor pembinaan, infrastruktur air, pembangunan hartanah, tenaga boleh diperbaharui, dan penjagaan kesihatan serta menyelesaikan penyiapan lebih 40 projek bernilai RM4.5 bilion, termasuk membina kampus baharu untuk Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun, Pengerusi Angkatan Hebat Sdn Bhd Datuk Seri Abdul Rahim Ismail dan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) Datuk k Sapawi Ahmad.
— Hayati Dzulkifli, Iskandar Dzulkifli
Add Comment