Home » ‘Keputusan paling tepat dan wajar’
Berita Tempatan Politik

‘Keputusan paling tepat dan wajar’

Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai

Kota Kinabalu: Keputusan Kabinet Persekutuan untuk menggugurkan cadangan garis panduan untuk umat Islam menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam adalah paling tepat dan wajar.

Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai (gambar) berkata ia menunjukkan Kerajaan Perpaduan Persekutuan mengambil berat tentang sentimen rakyat dalam isu perkauman dan agama.

“Berdasarkan apa yang kami baca di media, ia hanya cadangan, dan kami faham perbincangan sedang berjalan.

“Bagaimanapun, di Sabah, kita sentiasa menerima semangat unik kita iaitu keharmonian, hormat-menghormati dan persefahaman antara semua komuniti.

“Situasi unik di Sabah dan Sarawak, di mana toleransi kaum dan agama sentiasa berada pada tahap tertinggi, wajar diberi pengiktirafan,” katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Joniston, yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata hakikatnya Kerajaan Sabah mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia, namun di peringkat Negeri ia tidak mengabaikan keperluan badan agama bukan Islam.

Sebagai contoh, pada tahun ini, beliau berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM70 juta untuk badan agama bukan Islam, meningkat RM13.25 juta berbanding peruntukan 2024 sebanyak RM56.75 juta.

“Seperti yang sering ditegaskan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Kerajaan Negeri komited dan konsisten mengamalkan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyat, tanpa mengira kaum atau agama, dalam mengekalkan keharmonian dalam masyarakat,” katanya.

Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, berkata Lembaga Pelancongan Sabah (STB), khususnya, menggalakkan perpaduan melalui program seperti Harmony Walk/Run, yang merangkumi tempat ibadat (Masjid Negeri, Gereja Sacred Heart, Kuil Sikh Gurduwala dan Tokong Puncak Nam Tung yang terletak tidak jauh antara satu sama lain) untuk menonjolkan kedamaian masyarakat Sabah berbilang agama.

Beliau berkata dialog terbuka dan pertimbangan terhadap kepercayaan masing-masing sentiasa membimbing interaksi mereka.

“Pendekatan Sabah selama ini adalah mengenai memupuk perpaduan melalui sikap saling menghormati dan bukannya garis panduan berstruktur. Kami percaya masyarakat berbilang agama dan kaum kita di Sabah akan terus berinteraksi antara satu sama lain dengan cara yang menegakkan nilai bersama kita,” kata Joniston.

— DE/HE