KOTA KINABALU: Menghadiri majlis dianjurkan oleh masyarakat berbilang bangsa di Sabah sudah menjadi tradisi sejak zaman dahulu.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, perkara yang penting kepada mereka yang beragama Islam adalah pada akidah masing-masing.
“Kita di Sabah dari zaman dahulu sudah begitu, kita pergi meraikan, melawat kaum keluarga tetapi yang penting adalah akidah kita.
“Tiada orang yang pergi menghormati saudara mara mereka dalam gereja, mereka tukar agama.
“Saya sekolah di mission school bertahun. Oleh itu, terpulang kepada kita, akidah kita jaga, keharmonian, kasih sayang diantara keluarga itu.
“Janganlah kita putuskan dengan peraturan-peraturan yang tidak begitu relevan kepada kita,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) DUN Inanam, di sini hari ini.
Beliau berkata, majlis yang istimewa seumpamanya adalah unik kepada rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum.
Katanya, Tahun Baharu Cina antara perayaan yang diraikan bersama dengan kaum lain dalam negeri ini.
“Ia menggambarkan keharmonian dan perpaduan di Sabah sangat istimewa, kita tidak pilih bangsa, agama dan keturunan.
“Ada perayaan besar seumpama ini, kita bersama-sama raikan. Kita akan teruskan program seumpamanya,” katanya.
Berkenaan dengan kemalangan jiwa melibatkan permukaan jalan raya yang rosak. Hajiji berkata, perkara berkenaan adalah sesuatu yang menyedihkan.
Beliau memberikan jaminan akan mengatasi masalah-masalah seumpamanya agar kemalangan jiwa tidak lagi berlaku.
“Kita tegas dan maklumkan kepada pegawai berkaitan, jabatan berkaitan supaya segera mengatasi masalah ini,” katanya.
— TAMAT
Add Comment