PENAMPANG: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Back to School tahun ini bagi memastikan rakyat mendapat akses barangan persekolahan pada harga murah berbanding pasaran.
Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata program yang bermula sejak 18 Januari lepas dan akan berakhir pada 16 Februari ini melibatkan 174 pasar raya, pusat beli-belah dan kedai pakaian di seluruh negara melalui pelaksanaan secara di dalam premis dan luar premis.
Beliau berkata sebanyak 243 siri PJRM Back to School dirancang dalam tempoh berkenaan dan setakat semalam, sebanyak 101 siri program itu telah dilaksanakan seterusnya membantu rakyat terutama yang kurang mampu menyediakan kelengkapan sekolah anak mereka.
Beliau berkata di Sabah, sebanyak 24 daripada 31 siri PJRM Back to School telah dilaksanakan setakat hari ini.
“Program ini menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa bagi 45 hingga 70 stock keeping unit (SKU) termasuk pakaian seragam sekolah, kasut sekolah, beg sekolah dan kelengkapan alat tulis,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan PJRM Back To School di sebuah pusat beli-belah di sini semalam.

Sehubungan dengan itu, Armizan berkata peniaga barangan keperluan sekolah diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga dan mencatut bagi mendapatkan keuntungan tinggi ketika rakyat sedang bertungkus lumus menyediakan barangan keperluan sekolah anak-anak mereka.
“KPDN akan terus memantau dan menguatkuasakan undang-undang terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah. Kementerian akan mengambil tindakan susulan dalam 24 jam sekiranya terdapat aduan berkaitan pencatutan,” katanya.
Beliau berkata dalam mengukuhkan tindakan penguatkuasaan, pihaknya memohon orang ramai supaya melaporkan sebarang perbuatan mencatut kepada KPDN dengan kadar segera dan aduan juga boleh disalurkan melalui laman sesawang https://e-aduan.kpdn.gov.my/.
–BERNAMA
Add Comment