KOTA KINABALU – Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda bakal diberi laluan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau sekiranya beliau dinamakan sebagai calon mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini.
Katanya, walaupun DUN Bandau adalah kerusi milik abang sulungnya yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom yang mewakili Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), namun beliau bersedia untuk memberi laluan kepadanya.
“Tidak akan ada pertembungan di DUN Bandau, dia (abang) tidak akan berlawan dengan saya kerana dia akan bagi laluan kepada saya.
“Dia sudah katakan perkara ini, jika saya dipilih GRS untuk menjadi calon di sana, dia tidak akan bertanding,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Bersama Media di sini pada petang Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan akan diangkat menjadi calon dan sasaran DUN yang akan diwakilinya untuk bertanding dalam PRN nanti.
Untuk rekod, Wetrom sebelum ini menewaskan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Kota Marudu namun beliau enggan mengaku dirinya sebagai ‘giant killer’ kerana berjaya menumbangkan nama besar itu dalam arena politik Sabah.
Selain Wetrom, abang kedua Redonah iaitu Verdon juga merupakan Ahli Parlimen Kudat selepas berjaya merebut kerusi tersebut pada pilihan raya yang sama.
Kata Redonah lagi, walaupun mempunyai kelebihan datang dari keluarga ‘Bahanda’ di mana kedua-dua abangnya mendominasi kawasan pantai barat utara Sabah, namun beliau tidak melihat ia sebagai faktor utama mempengaruhinya untuk bertanding di DUN Bandau.
“Saya tidak nafikan saya memang ada kelebihan disebabkan nama ‘Bahanda’ itu. Memang ada kelebihan tetapi bukan itu adalah 100 peratus penyebab faktor utama kenapa saya mahu bertanding.
“Saya berada dalam arena politik ini bukan baru, bermula sejak tahun 2002 lagi sebenarnya saya telah mula bekerja sudah sekian lama, jadi saya rasa bukan faktor 100 peratus atas nama Bahanda itu,” katanya.
Sementara itu, Rerdonah mengesahkan Wanita Gagasan Rakyat sudah menghantar empat nama untuk dipertimbangkan sebagai calon PRN kali ini sebagai salah satu perjuangan untuk menuntut 30 peratus kouta wanita di Sabah.
“Saya sudah menghantar empat nama calon kepada Datuk Seri Azizah Mohd DUN selaku Ketua Wanita GRS, salah seorang nama calon, saya sendirilah.
“Kawasan sudah dikenal pasti, ada muka baharu dan ada muka lama. Sebagai seorang wanita sudah semestinya perjuangan koutya 30 peratus itu diteruskan bukan hanya dalam politik tapi di semua peringkat termasuk peranan dalam membuat keputusan,” katanya.
Ditanya mengenai persediaan jentera Wanita Gagasan Rakyat pula, beliau memaklumkan mereka kini sudah 70 peratus dalam persiapan untuk menhadapi PRN yang diadakan pada tahun ini.
“Kita ada 24,000 sebenarnya jentera yang kini dalam proses kemaskini tetapi yang telah dimasukkan data sekarang ini adalah seramai 3,987 jentera.
“Kita bersama-sama dengan wanita GRS juga iaitu seramai 18,000 jentera mereka dan mereka yang digerakkan untuk menghadapi PRN,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mahu Wanita sama ada Gagasan Rakyat atau GRS supaya mengubah strategi dalam mengerakkan jentera mereka.
“Kita ubah sikit pendekatan pergerakan wanita di mana kita jaga orang di sekeliling kita, orang yang terdekat dengan kita, keluarga kita.
“Jadi tidak akan ada isu apabila 24 jam kita berhubung sebab itu melibatkan kita punya orang yang terdekat dengan kita bukan orang yang baru dikenali,” katannya.
Add Comment