KOLABORASI dan sinergi terus menjadi penggerak ekonomi yang membawa Sabah mendunia, berawal dari Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dicipta empat tahun lalu.
Momentum pertumbuhan ekonomi Sabah dijangka berterusan tahun ini, dengan unjuran Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada sekitar 2.5 peratus.
Jangkaan ini mengambil kira tren semasa ekonomi global yang sedang melalui fasa pemulihan stabil selepas beberapa tahun mengalami pertumbuhan negatif.
Berdasarkan laporan Global Economic Prospects yang diterbitkan oleh Bank Dunia pada Jun 2024, pertumbuhan global dijangka meningkat sedikit kepada 2.7 peratus pada tahun 2025.
Unjuran pertumbuhan perkasa ekonomi Sabah antaranya disumbang oleh sektor perkhidmatan, diikuti perlombongan dan pengkuarian, pertanian serta pembuatan dan pembinaan.
Untuk rekod, sepanjang Januari hingga Julai 2024, negeri Sabah telah mencatatkan imbangan dagangan sebanyak RM9.6 bilion, dengan nilai eksport direkodkan RM37.5 bilion berbanding import RM27.9 bilion.
Di sebalik unjuran kepesatan pertumbuhan, agenda pemerkasaan ekonomi domestik Sabah kekal mengakar dan membumi kerana ia menjadi paksi kuasa dan kesejahteraan bagi rakyat terbanyak.

Semua itu tertulis dalam Hala Tuju SMJ yang menggariskan sejumlah strategi, termasuk komitmen membawa pelaburan langsung asing (FDI) dengan matlamat serampang dua mata — memperkasakan ekonomi dan menangani isu penggangguran dengan menyediakan peluang pekerjaan.
Mengikut laporan, nilai pelaburan sepanjang empat tahun lalu mencatat pertumbuhan amat signifikan.
Penganalisis ekonomi menyifatkan kejayaan itu sebagai terhasil daripada corak kepimpinan yang dinamik dan mesra pelabur.
Nilai pelaburan itu diramal terus meningkat tahun ini berikutan banyak lagi pelabur tempatan dan asing yang menunjukkan minat untuk datang melabur ke Sabah.
Terbaru pada Selasa lepas (11 Februari), kerajaan Sabah mengumumkan pelancaran Projek Hab Tenaga, Minyak dan Gas bernilai RM8.88 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Projek mega yang dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor itu, dijangka menjadi satu lagi platform bagi ekonomi Sabah mendunia.
Selain menjadi pemangkin bagi Sabah memainkan peranan penting dalam strategi tenaga dan perindustrian Malaysia, ia juga bakal menjadikan negeri ini hab utama dalam sektor tenaga di Asia Tenggara.
SOGIP bukan saja bakal mengubah lanskap panorama indah Sipitang yang menghijau, tetapi lebih penting menjadi pemangkin pertumbuhan sektor tenaga yang bakal menenempatkan Sabah gah di peta dunia.
Seiring perkembangan itu, maka kolaborasi dan singergi akan terus berkembang — meliputi semua sektor berkaitan minyak, gas dan tenaga, yang kemudiannya membawa limpahan ekonomi kepada industri dan komuniti setempat.
Projek itu merupakan kerjasama antara Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC), yang menguruskan SOGIP, dan Gibson Shipbrokers Limited, sebuah syarikat yang mengkhusus dalam bidang maritim, tenaga, serta industri berkaitan.
Penganalisis optimis bahawa ekonomi Sabah akan terus berkembang daripada fasa pemulihan pasca pandemik COVID-19 dan geopolitik domestik dua tahun lepas.
Yang penting kerajaan perlu melaksanakan dasar fiskal yang berhemat serta mengamalkan disiplin kewangan yang tinggi, demi menjamin pertumbuhan secara konsisten.
Fokus utama perlu diberikan kepada usaha membina daya tahan ekonomi. Ini boleh dilaksana melalui pelaburan yang bijak serta memperkukuh dasar-dasar dalaman.
Ia adalah sebahagian kriteria penting yang mampu meningkatkan produktiviti dan mempromosikan pembangunan mampan sektor-sektor utama.
Menerusi projek terbaru berskala besar di SOGIP itu, ia diyakini mampu menyumbang ke arah memperkukuhkan ekonomi domestik Malaysia selain meningkatkan perdagangan antarabangsa.
Dengan sokongan padu Kerajaan Persekutuan yang konsisten mesra pelabur, tidak syak lagi ekonomi Sabah diramal mencatatkan pertumbuhan yang kukuh, dipacu oleh permintaan domestik dan pelaburan yang konsisten.
Ekonomi Sabah kekal mengakar dan membumi di sebalik kepantasan meluncur dan mendunia.

Add Comment