KENINGAU: Impian Marcella Patsy Machare dari Kampung Jaya Baru untuk memiliki kediaman yang lebih selesa akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau menerima rumah baharu di bawah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Rumah baharu dibina bagi menggantikan kediaman lama yang terlalu uzur dan tidak lagi sesuai untuk didiami, memberikan beliau bersama tiga orang anak yang masih kecil tempat berteduh yang lebih selamat dan selesa.
Pembinaan rumah SMJ mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya mereka yang memerlukan bantuan perumahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman menyatakan harapan agar kediaman baharu itu dapat membawa perubahan positif dalam kehidupan Marcella dan keluarganya.

“Semoga rumah ini menjadi permulaan baharu yang cerah serta membawa kebahagiaan dan keberkatan kepada Marcella sekeluarga,” katanya.
Annuar turut menegaskan bahawa kepuasan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaannya.
“Making my people happy is my main goal,” katanya.
Program Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam usaha membantu rakyat mendapatkan tempat tinggal yang lebih selesa dan berkualiti.
Dengan adanya bantuan seperti itu, diharap lebih ramai rakyat yang memerlukan dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.
–Kenneddy Corlleus
Add Comment