Home » Pengerusi JKKK di DUN Sindumin perlu jalankan amanah diberikan tanpa dibatasi fahaman politik: Yusof
Berita Tempatan Politik

Pengerusi JKKK di DUN Sindumin perlu jalankan amanah diberikan tanpa dibatasi fahaman politik: Yusof

WATIKAH: Yusof menyampaikan watikah pelantikan kepada Pengerusi JKKK Kg Sungai Tiga, salah seorang Pengerusi JKKK baru bagi DUN Sindumin.

SIPITANG: Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin perlu menjalankan amanah yang diberikan tanpa dibatasi fahaman politik demi kemajuan kampung dan kebajikan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, Pengerusi JKKK merupakan pemimpin penting di peringkat akar umbi yang dilantik oleh Kerajaan Negeri sebagai satu-satunya badan penting di peringkat kampung bagi menjaga kemajuan dan keselamatan kampung.

“Mereka yang terpilih harus melaksanakan tugas dengan baik dengan mengikut apa yang telah digariskan dan tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Lantikan kepada 35 Pengerusi JKKK bagi DUN Sindumin, pada Rabu di sini.

Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, antara perkara-perkara yang harus dilaksanakan adalah mengadakan mesyuarat JKKK sebulan sekali serta mengadakan dialog bersama penduduk kampung bagi mendengar cadangan untuk memajukan kampung.

Menurutnya, Pengerusi JKKK atau Setiausaha juga harus mahir menggunakan komputer atau agar mudah untuk mereka membuat minit mesyuarat atau membuat surat permohonan dan sokongan.

ALBUM: Yusof (duduk tengah) bergambar bersama 35 Pengerusi JKKK bagi DUN Sindumin yang menerima watikah pelantikan sempena majlis itu.

Katanya, semua Pejabat ADUN Sindumin telah menyediakan komputer riba dan mesin pencetak kepada semua 62 JKKK untuk memudahkan mereka menjalankan urusan pentadbiran.

Tambahnya, beliau telah meminta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Sindumin untuk melaksanakan kursus kepada semua JKKK yang baru dilantik dan dilantik semula mengenai peranan dan tanggungjawab mereka agar dapat melaksanakan tugas dengan baik.

Menyentuh mengenai lantikan Pengerusi JKKK yang baharu, Yusof berkata, ia dibuat menerusi nama-nama yang dicadangkan oleh Ketua-Ketua Bahagian Parti Komponen Gagasan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan Plus bagi DUN Sindumin.

“Biarpun sebagai wakil rakyat mempunyai mandat untuk memilih, saya serahkan kepada parti komponen untuk mencadangkan nama-nama individu yang layak dan jika ada beberapa nama, barulah saya menggunakan mandat untuk memilih individu yang layak,” katanya.

— TAMAT