KOTA KINABALU: Program Bantuan Ihsan Komputer atau BAIK yang diperkenalkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah antara usaha untuk membantu pelajarpelajar kurang berkemampuan memiliki komputer riba bagi tujuan pembelajaran.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pihaknya bersyukur kerana program yang diperkenalkan oleh kerajaan GRS itu memberi manfaat kepada lebih 2,000 pelajar Sabah sejak ia diperkenalkan pada 2022.
Katanya, program BAIK antara inisiatif tambahan kepada program sedia ada yang lain bagi memastikan semua pelajar-pelajar kurang berkemampuan yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) memiliki komputer riba.
“Pada masa kini, komputer menjadi alat penting kepada pelajar dan atas faktor itu, kerajaan negeri memperkenalkan program BAIK, yang mana ia tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.
“Program BAIK ini juga diteruskan lagi pada tahun ini bagi memberi peluang kepada anak-anak Sabah di IPT memohon. Selain BAIK, beberapa program lain untuk membantu pelajar diteruskan antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara sekali bayar (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI).
“Banyak inisiatif yang kita sediakan bagi membantu dan memastikan anak-anak Sabah tidak tercicir dalam meneruskan pengajian mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, pelajar dalam jurusan perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kota Kinabalu, Norshafikah Zaiddi, 24, melahirkan rasa syukur kerana akhirnya berjaya memiliki komputer riba sendiri untuk kegunaan di universiti.
Norshafikah yang berasal dari Sandakan berkata, sebelum ini beliau terpaksa berkongsi komputer riba dengan adiknya.
“Justeru, saya berasa gembira kerana kini sudah ada komputer sendiri sekali gus memudahkan saya membuat tugasan,” katanya sambil menambah kedua ibu bapanya hanya bekerja sendiri.
Bagi seorang ibu, Sabnah Jamdan, 43, berasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dengan pemberian komputer menerusi program BAIK itu.
“Komputer riba ini akan memudahkan anak kami yang kini menuntut di Kolej Matrikulasi Labuan, menyiapkan tugasan yang diberikan. Alhamdulillah, pemberian ini amat membantu anak saya,” katanya yang juga suri rumah sepenuh masa.
Penerima komputer riba ini adalah antara 1,000 pelajar IPT yang menerima manfaat itu bagi permohonan tahun lalu.
Program BAIK adalah antara usaha kerajaan negeri membantu anak-anak kurang berkemampuan yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT untuk memiliki komputer riba sendiri.
Pemohon-pemohon baharu boleh melayari laman sesawang https://baik.sabah.gov.my untuk mendapat maklumat lanjut mengenai Program BAIK.
— TAMAT
Add Comment