Saya ingin mengulas sedikit dakwaan Ketua UMNO Sabah bahawa Kerajaan GRS-PH Plus adalah sebuah kerajaan yang gagal. Bukan hanya beliau, malah Pemimpin dan ahli-ahli Parti Warisan pun menimbulkan persepsi “Kerajaan Gagal” ini untuk dipercayai oleh rakyat Sabah.
Pada saya, Kerajaan GRS adalah sebuah kerajaan yang berjaya membangun Sabah dan rakyatnya. Saya amat positif, dengan berpaksikan kepada Halatuju Sabah Maju Jaya yang digagaskan oleh YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor selaku Ketua Menteri, impian menjadikan Sabah sebuah negeri yang makmur dan sejahtera mampu dicapai!
Tidak boleh dinafikan, YAB DSP Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri telah berjaya membawa Sabah ke satu tahap yang tinggi jika diukur dari segi erti kejayaan merangkumi konsep pembangunan sebenar.
Pada saya, beliau jelas menunjukkan satu bentuk politik dan kepimpinan yang berwawasan untuk Negeri dan rakyat Sabah dengan menggunakan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Sebelum lanjut, mari kita telusuri kronologi kejayaan pimpinan YAB DSP Hajiji di bawah GRS-Plus. Pertamanya, bayangkanlah, beliau mengambil alih Sabah dalam keadaan daif ekonomi (Negatif 9.5%) dan fizikal (perlaksanaan projek yang tergendala akibat konsesi yang diberhentikan dan dibatalkan).
Namun dengan pendekatan yang prudence (berhemah) dan bijaksana, YAB DSP Hajiji hanya dalam tempoh setahun, keadaan prestasi ekonomi mula menunjukkan perkembangan positif iaitu melonjak ke tahap prestasi positif 1.5%.
APA UKURAN SEBUAH KERAJAAN YANG BERJAYA?
Sebenarnya, jika kita mahu menentukan kayu ukur sesebuah kerajaan itu berjaya seperti GRS, kita mesti melihat konsep berjaya terlebih dahulu. Ringkasnya, berjaya membawa maksud mencapai perubahan dan pencapaian baik dari satu keadaan ke keadaan yang lain.
Dalam konteks Kerajaan GRS-PH Plus, adakah kerajaan ini memenuhi konsep berjaya?? Mari kita ukur satu-persatu.
Hakikatnya, untuk mengatakan sebuah Kerajaan seperti GRS-PH Plus berjaya, ukuran utama ialah apabila berlakunya pencapaian positif dari segi prestasi ekonomi, pengurusan kewangan, peningkatan hasil dan kegiatan ekonomi didalamnya. Inilah ukuran utama kerana ia akan menentukan tahap kemakmuran rakyat di kawasan tersebut.
Ekonomi yang berkembang seterusnya akan mampu memberikan hasil negeri yang banyak. Hasil ini boleh digunakan untuk membangun sektor-sektor lain yang melibatkan sosial, pembangunan infrastruktur dan sebagainya.
Dan semua ini sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan GRS, iaitu memulangkan hasil ini kepada rakyat untuk dinikmati. Contohnya Rumah Sejahtera SMJ, BUDI, SYUKUR, SENTOSA dan berbagai lagi program/projek telah dilaksanakan demi mencapai Halatuju SMJ yang telah digariskan.
Ukuran kejayaan kedua ialah perkembangan/pembangunan infra atau fizikal. Dalam hal ini, Kerajaan GRS melaksanakan tanggungjawab ini untuk memastikan kualiti dan kapasiti infrastruktur samaada air, elektrik dan jalan raya dijalankan dan sedang berlaku.
Namun perkembangan ini ada kesan sementara terutama jalan, paip-paip dan elektrik yang mengalami gangguan. Ini semua perkara biasa dalam menjalankan proses pembangunan.
Projek-projek pembangunan juga memakan proses dan masa yang panjang. Bukannya boleh disiapkan dalam sekelip mata.
Justeru itu, rakyat diharapkan lebih bersabar dan disarankan agar dapat mengatur kehidupan masing-masing sesuai dengan arahan dan perkembangan semasa dari agensi Kerajaan yang terlibat.
Umpamanya mewujudkan tindakan awareness atau persediaan terhadap kemungkinan ketiadaan bekalan air atau elektrik mengikut jadual catuan yang sudah ditetapkan. Semua ini di bawah kawalan masing-masing.
Saya yakin, rakyat matang dan faham akan keadaan ini. Sekiranya rakyat bercadang menukar kerajaan sekalipun, perkara berhadapan dengan kesan sementara seperti gangguan ini tetap akan berlaku!
Mana-mana Kerajaan pun tidak akan dapat selesaikan projek-projek yang melibatkan infrastruktur asas ini dalam tempoh yang singkat seperti yang digambarkan oleh pihak pembangkang.
Selain itu, adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan atas semua kekurangan ini kepada Kerajaan GRS hingga menggelarnya Kerajaan Gagal.
Kita semua maklum, bahawa keadaan fizikal setiap fasiliti asas yang ada di Sabah ketika ini sudah berada dalam keadaan usang dan inilah yang diwarisi oleh Kerajaan GRS.
Oleh sebab itulah maka projek-projek pembangunan sedang giat dilaksanakan. Dengan terlaksananya projek-projek pembangunan sepertimana yang diumumkan, ini sebenarnya sudah dikatakan sebagai kejayaan.
Selain itu, dasar mesra pelabur turut menyumbang kepada peningkatan hasil negeri Sabah. Dengan kemasukan pelabur, peluang pekerjaan akan dapat ditingkatkan untuk diisi oleh rakyat Sabah.
Berkenaan kecenderungan rakyat Sabah bekerja di Semenanjung, saya berpandangan perkara ini bukanlah seratus peratus boleh dikawal oleh Kerajaan GRS-PH Plus. Walhal, penghijrahan ini sudah lama berlaku. Apa yang menjadi harapan ialah dengan bertambahnya kemasukan pelabur ke Sabah, banyak peluang pekerjaan dan perniagaan akan terbuka luas!
Walau bagaimanapun, kemasukan pelabur ini tidaklah mampu menyediakan sekali gus dan dalam tempoh yang singkat pekerjaan kepada anak-anak Sabah. Ini juga memakan masa kerana perlaksanaan projek yang mereka buat mempunyai proses dan bidang-bidang yang tertentu.
Justeru itu, meletakkan kegagalan menghapus kadar pengangguran di pundak YAB DSP Hajiji dan kerajaan pimpinan beliau tidaklah adil. Namun saya yakin, sedikit demi sedikit perkara ini akan dapat diselesaikan.
RAKYAT PERLU RASIONAL PADA PRN-17
Pendek kata, Kerajaan GRS adalah sebuah Kerajaan yang berjaya sesuai dengan slogannya Sabah Maju Jaya. Perancangan dan perlaksanaan pelbagai program/projek pembangunan antara yang bersifat fizikal dan bukan fizikal menjadikan Kerajaan GRS sebagai sebuah kerajaan yang berjaya.
Setakat hari ini, belum ada satu pun perancangan yang disusun di dalam Halatuju SMJ gagal dijalankan. Ini bermakna, Kerajaan GRS-PH Plus adalah sebuah pemerintahan yang mengotakan janjinya!
Persoalannya, adakah rakyat mahu menenggelamkan sebuah bahtera yang membawa kita semua ke destinasi yang jelas makmur dan berpandukan kompas tepat melalui Wawasan yang digagaskan oleh YAB DSP Hajiji iaitu Halatuju Sabah Maju Jaya???
Corak kepimpinannya yang berwawasan, hakikatnya tidak pernah berlaku dengan mana-mana pemimpin sebelum ini. Tidak banyak bercakap, tetapi komited menjalankan tanggungjawab Kerajaan yang beliau bentuk menerusi gabungan pemimpin dan rakyat yakni GRS!
Bagi saya, YAB DSP Hajiji tiada niat lain selain daripada mahu melihat Sabah diurustadbir oleh parti tempatan, mengikut acuan dan aspirasi rakyat Sabah sendiri!
Sementara kehadiran PH Plus pula menjadi pemangkin dan jambatan penting antara negeri dan Kerajaan Persekutuan yang diperintah oleh Kerajaan Perpaduan/Madani. Hubungan baik ini mesti dipelihara untuk memastikan perjuangan MA63 dapat direalisasikan demi rakyat Sabah!
Oleh itu, besarlah harapan kita agar rakyat tidak mudah ditipu dengan persepsi buruk yang boleh mengakibatkan pertimbangan kita berlandaskan emosi yang sesat dan akhirnya memusnahkan masa depan kita dan generasi Sabahan akan datang!
Rakyat mesti rasional dan mengekalkan Kerajaan GRS-PH Plus demi kelangsungan program dan projek yang dirangka menerusi Halatuju Sabah Maju Jaya!
*Aksyah Nasrah merupakan mantan Timbalan Badan Perhubungan Negeri (BPN) BERSATU/ Perikatan Nasional (PN) Sabah.
Add Comment