Home » Apapun bentuk kerjasama, GRS harus pertahankan status quo
Politik Sudut Pandangan

Apapun bentuk kerjasama, GRS harus pertahankan status quo

Pengerusi GRS dan presiden Gagasan Rakyat,Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ,di sebuah kenyataan, menegaskan GRS akan mempertahankan semua kerusi disandangnya ketika ini.

APAPUN bentuk kerjasama yang dipilih Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berdepan dengan PRN-17, status quo terakhir, iaitu jumlah kerusi yang disandang perlu dipertahankan.

Kedudukan ADUN GRS Plus terakhir adalah Gagasan Rakyat 24/73; PBS 7/73; STAR 6/73, PLUS 2/73 dan PHRS 1/73, keseluruhan 40/73.

Kerusi-kerusi tersebut lah yang perlu dipertahankan GRS PLUS, manakala kerusi-kerusi lain 33/73 bergantung pada kerusi yang disandang parti yang bakal bekerjasama.

Dalam kedudukan mempertahankan status quo, masing-masing pihak boleh menambah kerusi, bukan sebaliknya.

Di antara parti yang bakal begerak solo adalah Parti Warisan dan Parti KDM, ertinya dua parti itu telah menutup kerjasama sebelum pilihan raya. Manakala Umno/BN dan PH masih berteka teki, sementara GRS cenderung mempertahankan status quo parti-parti yang menerajui kerajaan negeri hari ini, iaitu GRS-PH Plus.

Walaupun Umno/BN dan PH masih berteka teki, secara sepihak UMNO/BN sangat berminat bekerjasama dengan PH, walaupun belum ada kenyataan jelas daripada parti yang dipimpin Perdana Menteri tersebut.

Kerjasama antara Umno/BN dan GRS, jika berpandukan pada kenyataan-kenyataan terbuka Ketua Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin, amat tipis, walaupun Timbalannya, Datuk Rahman Dahalan terbuka dengan kerjasama.

Sementara di pihak PH, kerjasama dengan GRS terbuka luas, dan mempunyai kebarangkalian tinggi belaku, walaupun ada sedikit isu berkaitan pertindihan kerusi.

Jika berlaku kesepakatan berkaitan status quo, tidak mustahil berlaku kerjasama GRS-PH-Umno/BN. Dengan kerjasama tersebut, masing-masing akan mempertahankan kerusi terakhir, iaitu GRS Plus 40/73, PH 7/73 dan Umno/BN 8/73. Sebarang tambahan kerusi adalah di kerusi-kerusi yang tidak disandang.

Menerusi kerjasama tersebut GRS tidak kehilangan misi perjuangan, Rumah Kita, Kita Jaga, menerusi SabahFirst, SabahForward, SabahProsper dan SabahUnited Demi Sayangi Sabah, kerana mewakili sebahagian besar kerusi.

Matlamat kerjasama tersebut adalah untuk mengwujudkan kestabilan politik, selain memelihara hubungan dengan parti nasional.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .