Home » Hajiji tenang di posisi, PMX mahu politik stabil dipertahan
Politik Sudut Pandangan

Hajiji tenang di posisi, PMX mahu politik stabil dipertahan

Hajiji dan para pemimpin kanan Sabah bergambar kenangan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Daerah Tuaran.

SEKURANG-KURANGNYA ada tiga frasa menarik diungkapkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Sabah di Tuaran, Sabtu lepas.

Ungkapan berterus-terang dan tidak berfalsafah itu memberi isyarat jelas tentang pentingnya satu hal — iaitu kestabilan politik — dipertahankan bagi negeri Sabah melakar kemajuan.

Mesejnya tuntas dan tidak berkias-kias, mudah untuk difahami oleh siapapun yang mendengarnya.

Frasa pertama, beliau menyebut: “Terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kerana dapat membantu menenangkan dan menyederhanakan suasana, ini penting sebab apa? Kita mahu stabil, ini bantu kita fokus untuk rakyat kita juga.”

Ungkapan penghargaan PMX itu merujuk kepada upaya Hajiji mendepani cabaran dan tantangan politik di sepanjang perjalanan lima tahun kerajaan negeri.

Umum mengetahui Hajiji memimpin Sabah pada 2020 pasca pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Kemudian, ketika mulai pulih daripada puing-puing pandemik, beliau digugat pula oleh kudeta politik yang hampir meruntuhkan kerajaan yang baru dibina.

Bangkit dari kemelut yang melanda, Hajiji tanpa membuang waktu terus memposisikan Sabah dengan pelbagai usaha.

Inisiatif Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan pada 29 Mac 2021, terus diperkasa bagi membawa kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan kepada rakyat.

Tetapi usaha itu tidak lari daripada kritikan dan momokan oleh seteru politiknya.

Frasa kedua, PMX berkata lagi: “Jika bersatu kita dapat selesai masalah, tetapi ada pemimpin yang masih hentam dan maki hamun sana sini, bergaduh pasal budaya, pasal bahasa…”.

Ungkapan sinis ini tentunya menghala kepada para politikus yang tidak henti-henti mengkritik kepemimpinan Hajiji dan kerajaan negeri yang diterajuinya.

Bukan rahsia lagi, tersebar menerusi pelbagai platform media sosial kritikan, makian dan hentaman dilemparkan bertubi-tubi.

Bahangnya kini makin terasa pada ketika politik Sabah berada di ambang pintu pilihan raya negeri ke-17.

Frasa ketiga, PMX melanjutkan: “Kita kena kerja sekuatnya, ikhlas dan hentikan segala persengketaan… dalam tempoh satu atau dua tahun, Sabah boleh berubah ke arah lebih maju.”

Tepat sekali, sengketa politik berpanjangan merugikan semua pihak. Justeru, saranan supaya ia dihentikan penting untuk dihayati oleh pihak yang bersengketa.

Dan apabila Perdana Menteri menyebut `dalam tempoh satu atau dua tahun, Sabah boleh berubah ke arah lebih maju’ adalah refleksi pentingnya kesinambungan agenda pembangunan yang sedang dilaksana kerajaan.

Itulah tiga frasa menarik dari ungkapan Perdana Menteri yang berulang kali menghargai kesederhaanaan pimpinan Hajiji yang sentiasa tenang di posisi, dalam menghadapi hiruk-pikuk politik di Negeri Bawah Bayu ini.

Mesej jelas PMX — kestabilan politik — merupakan prasyarat penting bagi kerajaan untuk fokus kepada usaha membangunkan Sabah demi kesejahteraan rakyat.

Politik stabil dapat menciptakan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi dan menjadi magnet menarik lebih banyak pelabur, sekali gus membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Jika sesebuah negara atau negeri mengalami ketidakstabilan politik, ia berpotensi menciptakan citra negatif apabila pelabur perlahan-lahan menjauhkan diri lantaran risiko pelaburan yang dikhuatiri akan ditanggung.

Justeru, kepemimpinan yang kuat, kerajaan yang kukuh dan politik yang stabil menjadi kunci untuk mempertahankan kemakmuran rakyat dan negeri.

Dalam konteks Sabah, kerajaan pimpinan Hajiji sepanjang hampir lima tahun ini penting untuk dipertahankan demi menciptakan iklim politik yang kondusif.

Krisis pandemik dan konflik politik yang dihadapi pada awal dahulu, menjadi iktibar bersama bagi memperkukuh dinamika politik Sabah, demi mencapai kemajuan yang berkelanjutan, selain memperkuat posisi dalam panggung geopolitik nasional.

Melihat jauh ke depan, kerajaan akomodatif dan kesederhanaan pimpinan Hajiji sekarang kekal relevan untuk dipertahankan dalam perspektif keberagaman etnik, budaya dan agama di negeri ini.

Datauk Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo.