Saya ingin merujuk pada Kenyataan Media Ketua Penerangan UMNO Sabah, bertarikh 10 April 2025, bahawa masyarakat Bumiputra Sabah kini resah berikutan lantikan GGM baharu yang didakwa tidak memenuhi falsafah, prinsip, mencalar maruah institusi dan mengenepikan bakat tempatan. Perlantikan ini juga didakwa tersasar dari sensitiviti dan sejarah negeri ini.

Keperluan SEDCO merentasi isu perjawatan:
Seharusnya, sebagai pemimpin kanan parti, beliau perlu berpandangan jauh dan memikirkan, bahawa ada perkara yang jauh lebih diutamakan merentasi isu pengisian jawatan semata-mata. SEDCO sudah sekian lama menjadi organisasi penting dalam memacu ekonomi negeri dan bumiputra, perlu dipastikan sentiasa relevan dari segenap sudut. Jika kita bandingkan dengan badan-badan pembangunan ekonomi negeri lain seperti PKNS, J-Corp dan sebagainya, mereka jauh lebih maju ke hadapan!
Saya ingin bertanya pada rakyat yang didakwa resah oleh Ketua Penerangan UMNO Sabah, mana yang lebih utama, pengisian jawatan secara ekslusif hanya untuk Bumiputra, ataupun meningkatkan kaedah tadbirurus agar SEDCO tetap relevan dan mencapai matlamat penubuhannya? Apakah langkah signifikan, untuk memastikan SEDCO berada di landasan yang benar? Soalan-soalan begini yang sepatutnya dijawab agar badan ekonomi ini dapat terus menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri Sabah.

Meminjam ilmu dan kemahiran:
Menyedari cabaran inilah, maka YAB DSP Hajiji Haji Noor mengambil tindakan luar kebiasaan dengan keyakinan, bahawa GGM baharu ini mampu membentuk sistem pengurusan yang lebih sistematik, bersifat transformational, progresif dan inovatif agar ia terus relevan sebagai badan pembangunan ekonomi negeri dan bumiputra Sabah dalam dunia yang sangat kompetitif ini! Justeru itu, apakah langkah YAB DSP Hajiji “meminjam” ilmu dan kepakaran GGM baharu ini dengan bukti kejayaannya membina sebuah empayar perniagaan besar (meskipun bidang perniagaan yang diceburi banyak cabaran dan persaingan) suatu kesalahan yang berat? Ambillah pengajaran dari NOKIA. Mengapa NOKIA melingkup? Jawapannya kerana disebabkan tiada inovasi dan transformasi organisasi sesuai dengan kehendak semasa. Persoalannya; apakah kita juga mahu melihat SEDCO mengikut jejak NOKIA demi falsafah dan prinsip? Sedangkan falsafah dan prinsip ini tiada termaktub di dalam Enakmen penubuhannya. Cuma atas dasar “understanding” sahaja.
Hak keistimewaan Bumiputra Sabah:
Hakikatnya, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa memelihara prinsip dan falsafah yang nyata iaitu kepercayaan bahawa Sabah dibangun atas sumbangan semua kaum! Kita negeri “multiracial”. Meskipun berbilang kaum, atas faktor sejarah, kaum Non-Bumiputra secara “understanding” juga mengiktiraf, bahawa Bumiputra Sabah tetap ada keistimewaannya dan perkara ini tidak akan lenyap dek zaman. Cumanya apa akan berlaku jika SEDCO mengalami nasib yang sama seperti Nokia? Adakah hasrat membangun nasib bumiputra terutama dalam membasmi kemiskinan boleh dicapai?
Pemimpin yang adil:
Sebagai pemimpin yang adil, YAB DSP Hajiji Haji Noor juga perlu memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada Non-Bumiputra atas sumbangan mereka kepada negeri ini. Semangat ini yang perlu jika kita mahu melihat Sabah menjadi negeri yang maju, makmur dan berjaya! Lagipun kita tidak perlu risau dengan GGM baharu ini, beliau tetap dipandu, dikawal dan dinilai oleh Lembaga Pengarah yang dipengerusikan sendiri oleh Bumiputra. Malahan, saya yakin YAB DSP Ketua Menteri dan Pengerusi SEDCO telah memberikan taklimat berkenaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang perlu dicapai termasuklah membangunkan sosio-ekonomi masyarakat bumiputra Sabah!
Sumbangan GLC kepada negeri:
Antara langkah penting yang diambil oleh YAB DSP Hajiji untuk mencapai matlamat meningkatkan kegiatan ekonomi dan membasmi kemiskinan khasnya golongan Bumiputra Sabah ialah memastikan agar semua Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dapat memberi sumbangan dalam bentuk dividen kepada negeri kita. Keadaan ini memerlukan dedikasi dan iltizam yang kuat untuk membina kepimpinan dan mewujudkan kaedah pengurusan terbaik agar semua badan berkanun termasuk SEDCO mampu berkembang dan bertahan.
Persediaan pemimpin masa hadapan SEDCO:
Selain itu, dakwaan wujud mainan politik atau kuasa untuk memenuhi kepentingan mana-mana pihak adalah tidak berasas. Semua proses lantikan adalah mengikut kaedah penilaian yang lazimnya dipraktikkan oleh mana-mana organisasi. Kaedah “meminjam” ilmu dan pengetahuan GGM baharu ini adalah salah satu langkah proaktif “succession planning” jangka panjang kepada SEDCO agar lebih ramai pemimpin dalam organisasi dari kalangan Bumiputra boleh dilahirkan.
Kejayaan untuk semua:
Ringkasnya, saya mengesyorkan agar semua pihak faham dan berfikiran positif di atas langkah YAB DSP Hajiji yang bertindak luar kebiasaan dan kotak fikiran! Saya percaya beliau tiada niat langsung mengenepikan kaum Bumiputra Sabah. Seandainya SEDCO berjaya dimajukan, sudah tentu kegiatan ekonomi dapat ditingkatkan, dan secara langsung atau tidak langsung mampu memelihara agenda memelihara kemaslahatan kaum Bumiputra Sabah! Kejayaan yang bakal dicipta ini bukannya untuk DSP Hajiji, tetapi untuk rakyat jelata, agar agenda besar negeri kita dalam mencapai Halatuju Sabah Maju Jaya terlaksana dengan jayanya!
“Masak Udang sambal petai,
Sedap dimakan bersama lampan,
Jika ada kawan yang pandai,
Jangan bersaing ajaklah berkawan”
BETULKAN KEBIASAAN, BIASAKAN YANG BETUL!
*Artikel di atas dipetik dari kenytaan Facebook, Aksyah Haji Nasrah . Beliau merupakan Mantan Timbalan Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)/ Perikatan Nasional (PN) Sabah
Add Comment