TUARAN: Lebih daripada 10,000 orang menghadiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dihoskan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan keluarganya di Dewan Seri Sulaman di sini pada Sabtu.
Majlis yang diserikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tusin menyaksikan persembahan artis-artis tempatan serta penyanyi terkenal Marsha Milan Londoh dan Misha Omar.
Hajiji turut mengiringi Musa untuk menyampaikan Duit Raya kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di daerah itu.
Bercakap kepada media, Ketua Menteri gembira dengan kehadiran yang begitu ramai di rumah terbuka tersebut yang menurutnya merupakan acara tahunan bagi membolehkan rakyat daripada pelbagai lapisan untuk merayakan Hari Raya bersama.
“Rumah terbuka ini adalah untuk memupuk jalinan hubungan di antara kita,” katanya.

Antara yang hadir ialah Speaker Datuk Kadzim M. Yahya, Jemaah Kabinet Negeri, Setiausaha Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, wakil rakyat dan para pemimpin masyarakat.
Sementara itu, beberapa pengunjung yang ditemui turut meluahkan perasaan gembira menghadiri majlis berkenaan.
Mereka memuji kepimpinan Hajiji yang sentiasa prihatin terhadap masyarakatnya.
Rusdi Mokti berkata, program itu sangat bagus disamping dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama semua rakyat.
“Ketua Menteri sangat berjiwa rakyat dan dia banyak membantulah, dari segi macam-macamlah, dari segi kewangan dan pelbagai,” katanya.
Jelius Baragang berkata, beliau turut gembira kerana dijemput meskipun bukan beragama Islam.
“Saya sangat gembira, kerajaan kini banyak memberi saluran bantuan kepada rakyat khususnya yang memerlukan,” katanya.
— TAMAT
Add Comment