Home » Isu tumbuk gamatkan sidang DUN Sabah
Berita Tempatan Politik

Isu tumbuk gamatkan sidang DUN Sabah

ADUN Kunak Datuk Norazlinah Arif

KOTA KINABALU – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada sesi petang Selasa, kembali tegang apabila Datuk Norazlinah Arif (Gagasan Rakyat–Kunak) menerima kecaman daripada wakil rakyat blok pembangkang susulan tindakannya membangkitkan semula insiden ditumbuk yang didakwanya berlaku pada persidangan lalu.

Norazlinah sebelum itu dalam sesi perbahasan meluahkan rasa kecewanya apabila sidang DUN yang sepatutnya menjadi tempat perdebatan yang beradab telah dicemari dengan insiden yang tidak sepatutnya berlaku.

“Insiden yang berlaku kepada saya yang ditumbuk di bahu semasa persidangan yang lepas adalah satu tindakan yang sangat tidak wajar dan tidak boleh diterima, walaupun ada pihak yang mengatakan insiden ini adalah gurauan, ada yang kata bukannya sakit,” katanya dalam ucapan ketika membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, pada Selasa.

Susulan ucapannya itu, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Lamag) meminta supaya Norazlinah tidak mencari populariti dengan membuat tuduhan tidak berasas mengenai insiden tersebut.

“Saya minta Kunak buat laporan polis dan buat laporan kesihatan, jangan menuduh sembarangan. (Jika sudah buat) di mana hasilnya, kenapa polis tidak ambil tindakan.

“Jangan cari populariti Yang Berhormat, mana laporan polisnya, kemukakan kepada dewan ini,” katanya selepas mencelah ucapan perbahasan tersebut.

Norazlinah dalam pada itu mempertahankan gilirannya untuk berucap supaya tidak dicelah oleh mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Bung Moktar.

“Bukan mencelah, Yang Berhormat bercakap bohong. Ini giliran kamu tetapi kamu menipu… Kalau ada bukti, kemukakan dengan Speaker, jangan temberang, jangan meraih keuntungan di luar sana, rakyat bukan bodoh,” kata Bung Moktar lagi.

Sementara itu, ADUN Dilantik, Datuk Suhaimi Nasir yang sempat mencelah lalu membacakan peraturan mesyuarat yang menyebut seorang ahli dewan tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat terhadap mana-mana ahli lain.

Norazlinah kemudian ditegur oleh Speaker, Datuk Seri Kadzim M Yahya supaya mengemukakan aduan mengikut peraturan tetap mengenai insiden tersebut.

Dalam sesi yang sama, Assaffal P Alian (Warisan-Tungku) yang turut bangun mencelah meminta Speaker supaya Norazlinah mengemukakan laporan kesihatan yang telah dibuat untuk dibacakan dalam sidang tersebut.

“Dia berlakon, ini bukan jenis wakil rakyat yang kita mahu,” katanya.

Turut mencelah, Sarifuddin Hata (Warisan-Merotai) yang mengakui bahawa insiden disebut Norazlinah adalah ditujukan kepadanya dan beliau mengesahkan telah dihubungi pihak polis.

“Ini bukan soal makan cili siapa pedas, saya telah di telefon oleh pihak polis dan pihak polis mengatakan Yang Berhormat Kunak tidak mahu mengambil tindakan selanjutnya, saya tunggu supaya dibawa ke mahkamah supaya saya boleh membela nasib.

“Tak sebut nama pun saya seorang saja yang tumbuk,” katanya.

Sehubungan itu, Sarifuddin mencabar Norazlinah membuat laporan polis dan mengemukakan laporan kesihatan serta tindakan mahkamah.

Tidak habis disitu, ketika meneruskan ucapan, sekali lagi Norazlinah dikecam apabila membangkitkan semula ucapan perbahasan Datuk Junz Wong (Warisan-Tanjung Aru) pada Isnin yang didakwanya telah mengeluarkan kata-kata kesat dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, usaha Junz untuk mencelah gagal apabila Norazlinah enggan memberi laluan dan meneruskan ucapannya.

— Asyikin Asimin