BANDAU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) N6 Bandau akan menganjurkan dua program penting pada 20 April 2025 bersamaan hari ahad, bertempat di Dewan PPR Kerongkom Jaya.
Acara pertama merupakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang akan berlangsung dari 10.00 pagi hingga 2.00 petang. Majlis ini bertujuan mengeratkan silaturahim sesama masyarakat pelbagai kaum dan agama, selain mengukuhkan semangat perpaduan. Majlis tersebut akan turut dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Isnin Aliasnih, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, selaku tetamu kehormat. Semua lapisan masyarakat dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri ini.

Program pada sebelah petang pula ialah Majlis Pelancaran dan Penyampaian Watikah Perlantikan Ahli Jawatankuasa GRS N6 Bandau, yang dijadualkan berlangsung pada pukul 2.30 petang. Majlis ini akan dirasmikan oleh YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Setiausaha Agung GRS merangkap Timbalan Presiden Gagasan Rakyat dan Menteri Kewangan Sabah.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi GRS N6 Bandau, Datuk Maijol Mahap, yang juga merupakan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat N6 Bandau. Kehadiran beliau akan disertai oleh barisan Timbalan-Timbalan Pengerusi GRS N6 Bandau iaitu Puan Julita Dalinsi, selaku Pemangku Ketua Bahagian PBS, Tuan Ardino Diris, selaku Ketua Bahagian STAR, dan Tuan Azahari Amit, selaku Ketua Bahagian USNO.
Majlis ini turut disertai oleh barisan Ketua-Ketua Sayap Pergerakan GRS N6 Bandau, iaitu Puan Hamdiah Sungkian, Ketua Wanita, Tuan Abdul Hadi Oyong, Ketua Pemuda, dan Dr Nur Nadira Isahak, Ketua Beliawanis.
Selain kehadiran AJK GRS N6 Bandau, turut dijemput ialah AJK Bahagian, AJK Wanita Bahagian, AJK Pemuda Bahagian dan AJK Beliawanis Bahagian, serta Ketua Cawangan parti- parti komponen GRS N6 Bandau.
Jawatankuasa GRS N6 Bandau ditubuhkan bagi memperkemaskan gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang, di bawah kepimpinan Datuk Maijol Mahap yang menerajui usaha menyatukan parti-parti komponen GRS dalam satu barisan yang tersusun dan bersatupadu.
Menurut Datuk Maijol Mahap, Pengerusi GRS N6 Bandau, “Program ini bukan sahaja untuk menyambut Aidilfitri pada sebelah pagi dalam suasana harmoni, tetapi juga merupakan manifestasi kesungguhan GRS N6 Bandau dalam memperkukuhkan organisasi yang berpaksikan rakyat.”
Beliau turut menambah bahawa penyampaian watikah perlantikan kepada barisan kepimpinan GRS N6 Bandau adalah langkah penting dalam memperkemas struktur pentadbiran parti di peringkat akar umbi. “Kami percaya bahawa dengan pelantikan rasmi ini, setiap pemimpin akan lebih bersemangat untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan lebih tersusun, inklusif dan berfokus kepada keperluan rakyat,” katanya lagi.
Selepas pelancaran ini, GRS N6 Bandau akan terus bergerak secara aktif menerusi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif di bawah nama GRS N6 Bandau. Usaha ini bukan sahaja mencerminkan sinergi dan perpaduan kukuh antara parti-parti komponen, malah merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk membina kesedaran politik dikalangan rakyat. Melalui pendekatan ini, GRS ingin menyampaikan mesej yang jelas bahawa gabungan ini bersedia dan beriltizam untuk bertanding di DUN N6 Bandau pada pilihan raya negeri akan datang, di bawah panji dan logo GRS.
–TAMAT
Add Comment