KOTA KINABALU – Suasana Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bertukar hening apabila Datuk Juil Nuatim (Gabungan Rakyat Sabah -Limbahau) tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi kisah anaknya yang menghidap penyakit talasemia.
Ketika membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dalam persidangan DUN, Juil menyeru kerajaan agar memberikan keutamaan terhadap isu kesejahteraan kesihatan rakyat khususnya berkaitan pesakit talasemia di negeri ini.
Dalam nada sebak, beliau mendedahkan anaknya terpaksa menjalani transfusi darah akibat penyakit berkenaan sejak sekian lama dan kisah yang dikongsikan turut dihadapi ribuan kanak-kanak di seluruh Sabah.
“Mungkin anak saya ada bernasib baik sedikit kerana selepas mendapat rawatan teknologi di negara China pada bulan Disember lepas telah menunjukkan satu perubahan yang sangat positif setelah sekian lama, lebih kurang 25 tahun menjalankan transfusi darah dua hingga tiga kali seminggu.
“Sekarang ini, bacaan hemoglobinya sudah mencapai ke angka 13 sejak empat bulan lepas, tidak perlu lagi transfusi darah di hospital.
“Saya difahamkan anak saya merupakan pesakit talasemia pertama di Malaysia yang telah mendapat kejayaan daripada terapi ini. Maka saya mencadangkan agar di dalam dewan ini pihak kerajaan dapat membawa teknologi itu ke Sabah untuk selamatkan anak-anak talasemia,” katanya dalam sidang DUN Sabah, di sini pada Isnin.
Dedah beliau lagi, jumlah pesakit talasemia di Sabah adalah tertinggi di Malaysia iaitu kira-kira 2,000 pesakit pada tahun 2023 manakala peratusan pembawa talasemi adalah tiga kali ganda berbanding kadar peratusan seluruh negara.
“Pesakit talesemia ini bergantung hidup kepada tranfusi darah dengan kekerapan setiap dua hingga empat minggu.
“Walaupun ada kaedah rawatan yang berkesan digunakan di luar negara seperti di China, namun kosnya amat tinggi dan tidak mampu ditanggung oleh kebanyakan keluarga di Sabah.
“Sedangkan rata-rata penghidap datang dari golongan kurang berkemampuan yang mana ibu bapa terpaksa memikul beban kos yang tinggi hanya semata-mata mencari harapan di hujung dunia kerana rawatan itu belum tersedia di tanah air sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Sabah bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disaran meneliti kemungkinan untuk membawa masuk teknologi dan kepakaran rawatan talesimia yang ada di luar negara ke Sabah.
“Bukankah lebih baik jika rawatan ini boleh dibawa ke Sabah tanpa perlu merentasi lautan, ia bukan saja meringankan beban kewangan tetapi juga membuka ruang keadilan sosial dan kesihatan untuk semua agar mereka yang miskin tidak terus menjadi mangsa dalam senyap.
“Saya berharap agar kerajaan terus bekerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan dalam membawa keadilan sosial dan kesejahteraan hidup kepada rakyat negeri ini seiring konsep Malaysia Madani, mengharapkan simpati demi nasib rakyat yang menderita merintih dan menagih pembelaan hakiki.
“Itulah ceritanya talasemia saya, Datuk Speaker,” katanya sebelum meneruskan ucapan berkaitan kawasannya di Limbahau.
Sebelum itu, Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya turut menyatakan simpati kepada ADUN Limbahau terhadap kesukaran anaknya menghidap talasemia dan mendoakan kesihatan kepadanya. – SINAR HARIAN
Add Comment