Home » Stok penimbal gula putih bertapis di Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 1 Mei
Berita Tempatan Politik

Stok penimbal gula putih bertapis di Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 1 Mei

SUMBANGAN: Armizan ketika mengiringi Hajiji menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan.

KOTA KINABALU: Kerajaan sentiasa memantau dan memastikan bekalan barangan keperluan harian rakyat sentiasa mencukupi di pasaran terutamanya ketika permintaan meningkat di musim perayaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia penting kerana bekalan yang mencukupi juga akan mempengaruhi penawaran harga berpatutan di pasaran.

Katanya, langkah khusus perlu dilaksanakan bagi menangani isu gangguan bekalan memandangkan terdapat bekalan barangan keperluan harian di Sabah, Sarawak dan Labuan yang bergantung sepenuhnya daripada Semenanjung.

“Antara barangan yang terbabit adalah gula putih bertapis yang keseluruhan bekalan diperolehi daripada Semenanjung disebabkan tidak wujudnya pengilang di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Ini mengakibatkan berlaku gangguan bekalan gula putih bertapis pada masa tertentu seperti gangguan serius yang pernah terjadi pada bulan Ogos hingga Oktober 2023.

“Ia ditambah dengan faktor logistik iaitu penghantaran bekalan melalui perkapalan dari Semenanjung yang memerlukan masa lima hari ke Sarawak dan tujuh hari ke Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata demikian dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Papar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, pada Ahad di sini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan ADUN Kawang Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar.

Menurutya, atas sebab itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah merangka langkah khusus untuk mewujudkan stok penimbal gula putih bertapis di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Syor ini telah dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan pada 26 Mac lalu dan susulan itu, KPDN akan mengeluarkan Arahan Pengawal Bekalan kepada syarikat pengilang di Semenanjung Malaysia iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd.

“Jumlah stok penimbal yang ditetapkan adalah pada kadar 1,000 metrik tan (1 juta kilogram) untuk keperluan di Sabah dan WP Labuan dan 1,000 metrik tan untuk keperluan di Sarawak secara berperingkat bermula 1 Mei ini,” katanya.

Katanya, selain penyediaan stok penimbal, kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan tambahan untuk subsidi pengangkutan perkapalan bagi penghantaran bekalan gula putih bertapis ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

Armizan berkata, peruntukan yang disediakan kini adalah sebanyak RM38 juta setahun, berbanding RM19 juta setahun sebelum ini iaitu peningkatan daripada 10 sen kepada 20 sen bagi setiap kilogram.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Mac lepas juga bersetuju untuk KPDN menubuhkan Jawatankuasa Penstabilan Bekalan dan Harga.

“Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh kementerian, jabatan, agensi serta pemain-pemain industri berkaitan yang akan bersidang sekurang-kurangnya enam kali setahun.

“Saya berharap usaha bersepadu ini akan terus berupaya menangani isu-isu berkaitan kos sara hidup, kestabilan bekalan dan harga secara lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

–Hamzah Sanudin

About the author

Giulietta Capulet

Add Comment

Click here to post a comment