TAWAU: Kerajaan negeri terus komited memperkasa usahawan wanita melalui pelbagai inisiatif sokongan serta bantuan pembangunan kapasiti dalam usaha menjadikan Sabah sebagai antara hab keusahawanan wanita yang unggul di Malaysia.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Rina Haji Jainal berkata antara tumpuan utama adalah memastikan usahawan wanita dan pengusaha mikro serta kecil, dapat mengakses peluang sokongan yang disediakan kerajaan.
Katanya, banyak peluang disediakan menerusi kerjasama antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (USAHANITA).
“Penglibatan aktif usahawan wanita dalam program seumpama ini mampu membuka ruang lebih besar untuk mempromosi dan mengetengahkan produk tempatan.
“Kita bukan sahaja meraikan peranan wanita dalam keusahawanan tetapi juga mempromosi produk mereka ke hadapan, termasuk ke pasaran antarabangsa seperti Indonesia,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-4 USAHANITA cawangan Sabah, pada Sabtu.
Menurutnya, melalui pelan hala tuju Sabah Maju Jaya, kerajaan negeri telah menyalurkan pelbagai dan insentif kepada lebih 8,000 usahawan mikro dan sederhana di seluruh Sabah.
“Kita melihat ramai wanita muda kini berkecimpung dalam pembuatan makanan dari rumah, kosmetik, produk kesihatan dan sebagainya.
“Golongan ini memerlukan sokongan dari segi mesin, pemasaran, dan akses pasaran. Sebab itu machinery talk atau sesi pemadanan industri dan keusahawanan akan membantu mereka lebih memahami keperluan untuk berkembang,” katanya.

Rina berkata, kedudukan Tawau yang bersempadan dengan Indonesia memberi kelebihan luar biasa kepada usahawan Sabah untuk mengakses pasaran luar negara secara langsung.
“Jadi inisiatif kerajaan bukan hanya memberi bantuan bersifat dalaman, tapi kita juga membuka ruang dan kesedaran kepada usahawan untuk ‘step up’ dan melihat potensi pasaran yang lebih luas.
“Dunia sekarang sudah digital, jadi kita mahu mereka manfaatkan platform seperti Shopee, TikTok Shop, dan media sosial untuk menembusi pasaran,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan agar aspek mutu produk dan pengeluaran tidak boleh diabaikan.
Katanya, kerajaan negeri akan terus meneliti ruang penambahbaikan dalam rantaian nilai pengeluaran bagi memastikan produk usahawan wanita Sabah mampu bersaing secara mampan dan berkualiti.
“Kerajaan negeri sedar cabaran utama adalah pada tahap pengeluaran dan kualiti produk. Jadi di sinilah peranan kami membantu dari segi peningkatan kapasiti dan teknologi,” katanya.
— Hamzah Sanudin
Add Comment