Home » Tiada masalah kilang simen di dalam hutan: Masiung
Berita Tempatan Politik

Tiada masalah kilang simen di dalam hutan: Masiung

SIMBOLIK: Masiung menyampaikan baju Gagasan Rakyat kepada Micheal (dua kanan) pada majlis berkenaan.

TONGOD: “Apa masalahnya kilang simen dibina di dalam hutan, tak kan kita bina dalam bandar pula,” kata, Pengerusi Borneo Cemet Sabah (BCS) Sdn Bhd, Datuk Masiung.

Masiung berkata, bukankah lebih baik zon perindustrian kilang simen terletak jauh di kawasan hutan kerana jika dibina berdekatan bandar sudah tentu ia akan menimbulkan masalah sisa pepejal dan pencemaran udara yang kritikal.

“Selain batu kapur, bahan-bahan komponen dijadikan simen seperti tanah liat, pasir dan batu terdapat dalam zon perindustrian kilang berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kampung Sogo-Sogo, di sini.

Terdahulu, isu itu dibangkitkan ADUN Lamaq, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dalam Persidangan Dewan Negeri (DUN) Sabah pada 15 April lalu

Bung dalam nada sinis mempersoalkan pembinaan kilang simen itu dan menyifatkan ia tidak mungkin boleh beroperasi kerana didirikan di kawasan hutan tanpa bekalan elektrik, air dan akses jalan raya.

Ketua Perhubungan UMNO Sabah itu juga mendakwa, pelabur utama kilang simen berkenaan juga telah menarik diri sebaliknya wujud pembalakan di kawasan terbabit.

Masiung berkata, kenapa Bung tidak menyokong kewujudan kilang simen berkenaan sedangkan ia memberi impak ekonomi yang luas kepada warga Tongod.

“Mungkin juga Bung mempunyai agenda lain kerana tindakan beliau itu telah menimbulkan kemarahan penduduk Tongod seolah-olah projek klinker yang dalam proses pelaksanaan itu menemui kegagalan,” katanya.

Sebagai Ahli Parlimen di kawasan berkenaan beliau sepatutnya menyokong usaha murni itu kerana ia menawarkan lebih 1,000 pekerjaan kepada penduduk tempatan selain peluang perniagaan kepada warga Tongod yang disenaraikan sebagai daerah termiskin di Malaysia.

 Micheal menyerahkan borang kemasukan Gagasan Rakyat kepada Masiung (kiri).
SOKONGAN: Micheal menyerahkan borang kemasukan Gagasan Rakyat kepada Masiung (kiri).

Masiung menasihatkan Bung supaya jangan mudah melatah hanya kerana mengutip cerita kedai kopi, sebaliknya beliau boleh melawat sendiri perkembangan kerja-kerja peringkat awal di kawasan perindustrian kilang simen berkenaan.

Katanya, beliau tidak nampak wujud pembalakan di kawasan zon perindustrian kilang simen kerana hampir keseluruhan kawasan yang bakal di lombong hanya ditumbuhi batu kapur.

Menurutnya, pelabur utama Sinoma International Engineering Co. Ltd dari China dan BCS kini sedang giat menjalankan kerja-kerja awal membina jalanraya dari tapak kilang Kampung Kayawoi menuju jalan utama ke Kampung Matiku, Nabawan.

Sementara itu katanya, kerja-kerja penyambungan elektrik dan air kini sedang dibina serentak selain mendirikan menara telekomunikasi optik untuk memudahkan perhubungan.

“Projek kilang klinker dan simen bernilai RM1.2 bilion itu telah dilancarkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada April tahun lalu.

Pada majlis itu, Masiung turut menerima seramai 112 ahli baharu diketuai bekas pesara guru, Micheal Tamoi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kuamut.