Home » Inisiatif ECoS bagi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat
Berita Tempatan Politik

Inisiatif ECoS bagi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat

SERAH: Hajiji bersama Shahelmey dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Haji Julaihi Haji Narawi menyaksikan penyerahan mock Label Keselamatan pada Majlis Pertukaran Dokumen MoU itu.

KOTA KINABALU: Pelbagai inisiatif telah diambil oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) bagi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah, khususnya dalam sektor tenaga.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ia termasuklah pelancaran Label Keselamatan ECoS-SIRIM versi terkini.

Beliau menyifatkan inisiatif ini adalah satu langkah proaktif ECoS untuk melindungi kepentingan pengguna termasuk memastikan hanya peralatan elektrik dan gas yang selamat serta berkualiti tinggi akan dipasarkan di negeri ini.

Menurutnya, pelancaran label ini juga membawa kepada program penting yang berkaitan iaitu Memorandum Persefahaman (MoU) diantara ECoS dan Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak.

Katanya, kerjasama strategik ini sangat penting dan menzahirkan pengiktirafan bersama terhadap keselamatan peralatan elektrik dan gas serta menekankan peranan ECoS dalam memastikan produk yang digunakan oleh rakyat memenuhi piawaian tertinggi.

“Ianya juga menunjukkan satu lagi bidang kerjasama untuk manfaat bersama hasil pertalian erat yang sedia terjalin di antara Sabah dan Sarawak melalui kedua-dua badan berkuasa pengawalselia masing-masing.

 Hajiji, Shahelmey dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Haji Julaihi Haji Narawi menyaksikan pertukaran dokumen MoU Pengiktirafan Bersama Label Keselamatan ECoS-SIRIM dan SIRIM-MUT bagi kelengkapan Eletrik dan Gas diantara ECoS dan MUT Sarawak.
 SAKSI: Hajiji menyaksikan penyerahan sumbangan RM500,000 untuk Yayasan Kebajikan Sabah daripada Adzmir kepada Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah, Datuk Hajah Diyanah Abdullah pada majlis itu.

“Saya yakin dengan termetrinya MoU ini, akan memperluaskan pasaran produk-produk yang berkualiti dan diiktiraf bagi kemudahan pengguna dan peniaga kedua-dua negeri,” katanya.

Hajiji berkata demikian pada Majlis Pertukaran MoU diantara ECoS dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak serta Pelancaran Label ECoS/Sirim dan Pelancaran Program TVET Angkat ECoS sempena Majlis Ramah Mesra Aidilfitri ECoS di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan elektrik dan gas serta memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan barangan pengguna terutamanya barangan yang berisiko tinggi.

Katanya, dengan lambakan pelbagai barangan daripada luar negara yang masuk ke negara ini, termasuk Sabah akan memberi faedah kepada pengguna daripada segi kepelbagaian pilihan dan harga yang ditawarkan, namun aspek keselamatan barangan perlu diberi perhatian serius oleh pihak yang berkaitan.

“Sebagai kerajaan, kita komited dan serius dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat, saya mahu pihak bertanggungjawab sentiasa berusaha memperkukuhkan perlindungan pengguna khususnya dalam aspek keselamatan barangan pengguna.

“Kerajaan negeri menyokong dan amat mengalu-alukan usaha yang diambil oleh ECoS bersama kerajaan Sarawak dalam aspek keselamatan peralatan elektrik dan gas di kedua-dua negeri,” katanya.

Hajiji optimis, penubuhan ECoS telah membuka lembaran baharu dalam pengurusan sektor tenaga di Sabah.

Katanya, dengan kuasa pengawalseliaan yang telah dimandatkan melalui lunas undang-undang, ECoS perlu terus komited untuk memastikan pembangunan sektor tenaga yang teratur dan cekap, yang akan menyokoung pembangunan ekonomi Sabah serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Sementara itu, semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Sabah Energy Corporation (SEC) di Dewan Sipadan SICC, Hajiji menyaksikan penyerahan bayaran dividen sebanyak RM18 juta daripada SEC kepada kerajaan negeri, sumbangan sebanyak RM500,000 kepada Yayasan Kebajikan Sabah dan bayaran Zakat Perniagaan 2024 sebanyak RM198,536 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir.Shahelmey Yahya, Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Pengerusi SEC, Datuk Annuar Ayub dan Ketua Pegawai Eksekutif SEC, Datuk Adzmir Abd Rahman.

— TAMAT

About the author

Giulietta Capulet

Add Comment

Click here to post a comment