Home » GRS-PH Plus tentukan agihan kerusi dalam masa terdekat
Berita Tempatan Politik

GRS-PH Plus tentukan agihan kerusi dalam masa terdekat

DIVIDEN: Hajiji (tengah) bersama tetamu jemputan lain menyaksikan penyerahan dividen berjumlah RM18 juta daripada Adzmir kepada Mohd Sofian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SEC hari ini.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Plus akan mengadakan perbincangan bagi menentukan agihan kerusi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, perbincangan agihan kerusi yang akan ditandingi itu akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Menurutnya,  ia turut melibatkan wakil rakyat dari parti lain seperti Barisan Nasional (BN) dan PAS yang berada dalam kabinet negeri.

Dalam pada itu jelasnya, GRS-PH Plus yang menerajui kerajaan negeri adalah satu gabungan yang akan menentukan rakan kerjasama dalam menghadapi PRN17.

“Kita adalah kerajaan negeri dan kita yang menentukan mana-mana parti yang ingin kita bekerjasama dalam pilihan raya akan datang ini.

“Sebelum kita menghadapi pilihan raya, kita mesti ada gabungan. Selain GRS, PH juga dalam kerajaan sekarang.

“Jadi, banyak kemungkinan yang boleh berlaku kerana kita mahu mewujudkan satu kestabilan politik di negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Sabah Energy Corporation (SEC) pada Selasa, di sini.

Hajiji berkata, pihaknya terbuka kepada ruang-ruang yang boleh memberi kebaikan untuk mewujudkan kerjasama politik di Sabah.

Sementara itu, Hajiji turut menjelaskan Sabah hanya akan terkesan kurang satu peratus dengan tarif timbal balik 24 peratus ke atas barangan Malaysia oleh Amerika Syarikat (AS).

“Ini sudah kita bincangkan dalam kabinet, kalau mengikut laporan yang saya terima, kita tidak banyak terkesan daripada tarif yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat.

“Sabah kurang daripada satu peratus dan itu yang saya dimaklumkan,” katanya.

Pada majlis itu, beliau menyaksikan penyerahan bayaran dividen sebanyak RM18 juta daripada SEC kepada kerajaan negeri, sumbangan sebanyak RM500,000 kepada Yayasan Kebajikan Sabah dan bayaran Zakat Perniagaan 2024 sebanyak RM198,536 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya; Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Pengerusi SEC Datuk Annuar Ayub; Ketua Pegawai Eksekutif SEC Datuk Adzmir Abd Rahman; dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah Datuk Mohd Sofian Alfian Nair.

About the author

Giulietta Capulet

Add Comment

Click here to post a comment