KOTA KINABALU: Mandat yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk membangunkan loji-loji jana kuasa gas baharu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Kimanis, bakal melonjakkan peranan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) sebagai penjana kuasa terbesar di Sabah menjelang 2030.
Pengerusi SEC Datuk Annuar Ayub berkata, SEC sebagai pemegang taruh utama, usaha itu melibatkan jana kuasa gas baharu berkapasiti 100 megawatt (MW).
Katanya, sumbangan itu juga amat signifikan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi serta memenuhi keperluan tenaga bagi sektor industri, perusahaan dan pengguna domestik.
Menurutnya, SEC turut memainkan peranan sebagai pembekal utama gas asli kepada sektor industri di Sabah.
“Bekalan ini bukan sahaja menggerakkan aktiviti perindustrian, malah turut menjadikan negeri Sabah lebih berdaya saing dalam menarik pelaburan baharu.
“Antara pelaburan utama yang berjaya direalisasikan termasuklah Kilang Kerajang Tembaga milik SK Nexilis dari Korea Selatan bernilai RM2.3 bilion, kilang kaca solar oleh syarikat Kibing dari China di KKIP bernilai RM3 bilion, dan di Kimanis bernilai RM7.2 bilion.
“Selain itu, ia turut melibatkan kilang keluli hijau bernilai RM20 bilion yang akan dibangunkan di Sipitang oleh Esteel Enterprise Sabah iaitu sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura.
“Di samping itu, SEC juga menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah melalui bekalan gas kepada lebih 40 pengguna industri tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SEC pada Selasa di sini. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menjadi tetamu kehormat majlis itu.
Annuar berkata, dalam usaha meneroka potensi sumber tenaga alternatif yang lain, SEC turut diberikan mandat oleh kerajaan negeri melalui Majlis Tenaga Sabah untuk membangunkan projek kincir angin berkapasiti sehingga 100MW di Kudat.
“Projek berkenaan kini berada dalam fasa akhir kajian kebolehlaksanaan dan dijangka memulakan pelaksanaan pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.
“Selain itu, melalui projek ini juga, SEC akan bekerjasama dengan penduduk setempat melalui penyewaan tanah, sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi komuniti yang terlibat.
“Usaha-usaha ini adalah langkah strategik ke arah memperkukuh keselamatan tenaga negeri, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, serta menyokong agenda pembangunan tenaga yang lebih mampan untuk jangka panjang,” jelasnya.
Beliau berkata, SEC akan terus komited dalam memastikan bekalan tenaga yang stabil, selamat dan efisien agar sektor industri di negeri ini dapat terus berkembang dalam persekitaran ekonomi yang kondusif.
Menurutnya, pencapaian itu turut mencerminkan keberkesanan perancangan perniagaan SEC yang mampan dan berorientasikan masa hadapan.
Pada majlis itu, Annuar bersama Hajiji menyaksikan penyerahan bayaran dividen sebanyak RM18 juta daripada SEC kepada kerajaan negeri, sumbangan sebanyak RM500,000 kepada Yayasan Kebajikan Sabah dan bayaran Zakat Perniagaan 2024 sebanyak RM198,536 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya; Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Ketua Pegawai Eksekutif SEC Datuk Adzmir Abd Rahman; dan Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah, Datuk Diyanah Abdullah.
— Siti Aisyah Narudin
Add Comment