Home » Perbezaan Naratif Warisan vs Naratif GRS
Politik Sudut Pandangan

Perbezaan Naratif Warisan vs Naratif GRS

Naratif Warisan: Sabah Kita Punya — berfokus semata-mata pada semangat kenegerian, yang dipacu oleh sentimen “Sabah lawan Malaya”.

Naratif Gabungan Rakyat Sabah (GRS): Kita Jaga Sabah — berfokus pada semangat cinta Sabah, dipacu oleh konsep kerjasama dan kolaborasi demi mendapat impak terbaik untuk Sabah.

Kelemahan naratif Warisan ini, ia menyempitkan soal kepimpinan politik negeri hanya sekadar pertembungan “Sabah lawan Malaya”. Naratif ini mengabaikan isu-isu tatakelola pembangunan yang penting seperti kualiti tadbir urus, ketelusan, keterangkuman dasar dan keberkesanan pelaksanaan.

Naratif Warisan menimbulkan ilusi seolah-olah semua masalah di Sabah berpunca daripada pusat, lalu mengaburi kelemahan dalaman yang nyata. Ia secara sengaja menggelapkan isu kecekapan teraju pimpinan dalam membentuk dasar ekonomi dan sosial yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat.

Mereka hanya taksub menekankan konsep — “asalkan BUKAN MALAYA”. Akibat daripada retorik berlebihan ini, rakyat tidak diberi ruang untuk menilai prestasi sebenar parti atau pemimpin mereka dalam konteks meneraju halatuju pembangunan negeri.

Mari kita analisis bagaimana naratif sempit ini telah membenamkan Warisan. Parti ini pernah meraih mandat besar pada PRU14 (2018). Tapi selepas kemenangan tersebut, rekod Warisan mengunjur dengan bersimpang-siur.

Warisan yang taksub dengan retorik dan sentimen negeri tiba-tiba menimbulkan kontroversi apabila berkempen di Pulau Pinang dan Johor menentang rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan. Konon membawa pendekatan “pelbagai kaum ala Warisan” dalam beberapa pilihan raya kecil — dan KALAH TERUK (hilang wang cagaran dalam semua pertandingan).

Dalam PRU15 pula, Warisan buat keputusan meninggalkan kerjasama nasional (PH) yang lebih besar. Warisan memilih untuk kembali kepada naratif parokialisme tempatan, dan dihukum oleh pengundi apabila hanya mampu mempertahankan 3 daripada 8 kerusi Parlimen sedia ada. Warisan juga kecundang dalam pilihanraya negeri 2020, sedangkan baru lebihkurang 2 tahun sebelumnya (2018), Warisan mendapat sokongan besar.

Ini mencerminkan bahawa rakyat Sabah sebenarnya tidak mengundi hanya bersandar pada semangat kenegerian atau anti-pusat semata-mata. Tetapi rakyat turut menilai prinsip konsistensi, keikhlasan perjuangan, dan prestasi sebenar dalam pentadbiran. Maka, untuk memperkukuh demokrasi dan pembangunan di Sabah, wacana politik harus melangkaui naratif sempit “Sabah vs Malaya”, dan kembali kepada asas-asas urus tadbir yang baik dan agenda pembangunan yang inklusif.

Inilah naratif GRS yang termanifestasi dalam “Kita Jaga Sabah”. GRS percaya bahawa negeri ini mesti diteraju oleh parti tempatan sebagai tunggak pentadbiran. Tetapi dalam masa yang sama GRS tidak menolak kerjasama dan kolaborasi dengan pihak-pihak lain, termasuk parti-parti nasional.

Kenapa naratif bersifat sinergi begini penting? Supaya wujud mekanisme “semak dan imbang”, sekaligus boleh memacu tatakelola urus tadbir yang lebih cekap. Ini kemudian membantu penggubalan dasar sosioekonomi yang lebih inklusif, seterusnya membawa kepada perlaksanaan program-program pembangunan yang lebih efektif.

*Artikel ini ditulis oleh Silent Follower dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News.