Hajiji meletakkan topi graduasi sebagai gimik pelancaran Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) di SICC, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri akan melihat cadangan daripada beberapa pihak agar membantu terutamanya pelajar Sabah yang menuntut di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung dengan memberikan subsidi tambang kapal terbang untuk mereka balik ke negeri ini untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kita tengok dulu. Memang ada cadangan-cadangan daripada beberapa pihak terutamanya siswa-siswi ataupun rakyat Sabah yang tinggal di Semenanjung yang mungkin mahu pulang untuk mengundi (pada PRU15).
“Jadi perkara ini mungkin nanti kita akan perhalusi. Setakat ini belum ada apa-apa lagi yang kita dapat umumkan.
“Tetapi kita mahu juga mereka menunaikan hak mereka untuk mengundi sebagai rakyat dan juga sebagai pengundi dalam PRU yang akan datang ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan selepas beliau melancarkan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Beliau ditanya tentang cadangan agar Kerajaan membantu dengan memberikan subsidi tambang kapal terbang kepada para pelajar Sabah di IPT di Semenanjung agar mereka dapat pulang untuk mengundi pada PRU15.
Add Comment