KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun menyatakan sokongan terhadap usaha Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam memperkasa wanita dengan meningkatkan penglibatan wanita dalam membuat keputusan dan menggubal dasar.
“Saya amat menyokong usaha memperluas peluang dan akses kepada semua wanita Sabah kerana ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Sabah amat prihatin, peka dan ambil peduli tentang kaum wanita.
“Ini juga secara menyeluruh mempamerkan bahawa peranan wanita sememangnya terbukti memberi impak positif dari segi kebajikan, pendidikan, ekonomi, kesihatan, undang-undang dan kepimpinan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Azizah lagi, usaha memperluas peluang dalam semua bidang kepada kaum wanita adalah pemangkin kepada perubahan dalam komuniti negeri.
Katanya, pemerkasaan wanita adalah satu langkah kea rah agenda pembangunan sosial dan penting untuk memacu kemampanan negeri yang inklusif.
“Untuk itu, kami amat mengalu-alukan pelantikan barisan ahli Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) yang baharu, yang terdiri daripada tokoh-tokoh berpengalaman dari pelbagai latar belakang.
“Sesungguhnya wanita adalah kaum yang gigih dan dengan gabungan tenaga profesional, aktivis dan pemimpin komuniti, kita yakin bahawa wanita mampu memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan negeri Sabah secara keseluruhannya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Azizah turut menyatakan pendirian wanita GRS dan akan sentiasa bekerjasama dengan MPWS, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), serta semua agensi berkaitan dalam menjayakan pelan tindakan memperkasa wanita Sabah.
“Kami sangat percaya, melalui usaha kolaboratif dan strategi yang inklusif, lebih ramai wanita Sabah akan tampil ke hadapan sebagai pemimpin, pencetus inovasi, serta penyumbang aktif kepada pembangunan Sabah serta Malaysia, sejajar dengan misi dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Saya juga ingin mengajak semua pihak baik daripada pihak kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun masyarakat umum untuk turut sama memainkan peranan dalam menyokong agenda pemerkasaan wanita.
“Ini adalah usaha yang perlu melibatkan semua pihak, secara konsisten, berterusan dan berfokus demi untuk memastikan masa depan generasi akan datang yang lebih cerah,” ujar beliau lagi.
— Zacherlyn Ad
Add Comment