KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata Kerajaan Negeri Sabah di bawa kepimpinan Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sentiasa fokus dalam usaha untuk menyampaikan kestabilan dan kesinambungan pembangunan Sabah.
“KM nyatakan hasrat yang jelas tentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam usaha menyampaikan kepimpinan dan membangunkan Sabah.
“KM juga tegaskan bahawa semua komponen GRS berada dalam keadaan harmoni dan bersatu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Nizam yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, memberitahu bahawa jentera Penerangan Gagasan Rakyat sentiasa fokus dalam usaha untuk menyampaikan hasrat perjuangan parti kepada akar umbi.
“Kita dalam Penerangan, kita sentiasa beri komitmen untuk memastikan kemenangan GRS untuk PRN akan datang kerana fokus kita adalah menerangkan, memberikan penjelasan dan menjadi kekuatan parti dalam memastikan rakyat di peringkat akar umbi faham tentang perjuangan parti,” katanya lagi.
Tambah Nizam lagi, pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 (2021–2025) menunjukkan hasil yang meyakinkan, meletakkan Sabah di landasan yang betul dalam aspek ekonomi, pelaburan, pendidikan, dan kesejahteraan rakyat.
“Kita memang sentiasa bersedia untuk melangkah ke fasa baharu iaitu SMJ 2.0 (2026–2030), yang menuntut kestabilan politik sebagai asas utama untuk pelaksanaan dasar yang berterusan dan menyeluruh.
“Masalah-masalah legasi seperti air, elektrik, dan jalan raya tidak boleh lagi dibiarkan berlarutan dan jalan penyelesaian terbaik adalah memerlukan pentadbiran yang stabil, dasar yang konsisten dan komitmen jangka panjang, ini hanya boleh dicapai dengan mandat yang kuat kepada GRS,” jelasnya lagi.
Add Comment