Home » Kerajaan negeri dilihat lebih komited iktiraf potensi wanita sebagai rakan pembangunan setara
Berita Tempatan Politik

Kerajaan negeri dilihat lebih komited iktiraf potensi wanita sebagai rakan pembangunan setara

Datuk Flovia Ng

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dilihat lebih komited mengiktiraf peranan, sumbangan serta potensi wanita sebagai rakan pembangunan setara menerusi kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam membantu memperkasa wanita melalui pelbagai program.

Menyifatkan perkara itu, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri kerana terus memberi ruang dan kepercayaan kepada golongan wanita untuk turut sama memainkan peranan penting dalam kepimpinan, pembuatan dasar serta pembangunan sosial dan ekonomi Sabah.

“Dalam kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Induk Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) yang telah dilantik pada 5 Mei yang lalu.

“Pelantikan ini adalah satu langkah penting ke arah memperkukuh hala tuju dan keberkesanan dasar pembangunan wanita di negeri ini.

“Saya yakin dengan pengalaman, kepimpinan dan komitmen yang dimiliki oleh barisan jawatankuasa ini, kita akan dapat mengangkat lagi suara dan kepentingan wanita Sabah dalam pelbagai bidang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah beliau, langkah-langkah ini bukan sahaja mencerminkan dasar inklusif kerajaan tetapi juga satu pengiktirafan terhadap keupayaan wanita Sabah yang cekal, berdaya saing dan berdedikasi dalam setiap lapangan.

“Justeru,Saya menyeru agar semua pihak – sama ada jabatan kerajaan, pihak swasta mahupun masyarakat – terus bersama-sama menyokong agenda pemerkasaan wanita demi kemajuan negeri yang lebih holistik dan seimbang,” tegasnya.

— Mirlen