Home » GRS simbol perpaduan Sabah bukan “abang besar”
Berita Tempatan Politik

GRS simbol perpaduan Sabah bukan “abang besar”

Mantan Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Aksyah Haji Nasrah

Kota Kinabalu: Mantan Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam menerajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disifatkannya sebagai gabungan tulen rakyat Sabah.

Katanya, kebijaksanaan dan keikhlasan Hajiji dalam menyatukan pelbagai parti dan pemimpin di bawah satu wadah menjadikan GRS sebagai simbol muafakat yang menjadi cemburu pembangkang.

“Sebagai pemimpin berpengalaman dan berniat suci untuk Sabah, beliau tahu bagaimana menyelesaikan perbezaan pandangan dalam kalangan rakan gabungan,” katanya.

Mengulas kritikan terhadap kerjasama GRS bersama PH-Plus dalam formasi politik 50-23, Aksyah menyifatkan naratif yang cuba dibawa pembangkang sebagai cubaan menggugat perpaduan.

“Angka 50 lebih besar daripada 23 – ini bukti dominasi parti tempatan dalam formasi GRS. Namun dominasi ini bukan bermakna sikap ‘Abang Besar’, sebaliknya simbol perkongsian kuasa yang harmoni,” tegas beliau.

Tambahnya, penyertaan PH-Plus dalam kerjasama tersebut mencerminkan komitmen terhadap kestabilan politik dan kesepaduan negeri, selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Aksyah turut menyeru rakyat agar terus menyokong GRS dan tidak terpengaruh dengan janji manis pembangkang yang dianggap tidak realistik.

“27 tahun memerintah, pelbagai masalah masih gagal diselesaikan oleh mereka. Era mereka telah berlalu. Kini, GRS membuktikan keupayaan membawa kemajuan dengan dasar yang inklusif dan penyatuan rakyat,” katanya.

Aksyah kini penyokong GRS, selepas meninggalkan Perikatan Nasional Sabah, sebagai tanda keyakinan terhadap gabungan tersebut sebagai masa depan politik negeri.

— TAMAT