Home » GRS sedia bergerak secara solo: Hajiji
Berita Tempatan Politik

GRS sedia bergerak secara solo: Hajiji

Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pihaknya akan mengambil hala tuju itu sekiranya keputusan muktamad Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.

Hajiji yang juga Ketua Menteri menegaskan parti-parti tempatan harus menjadi tonggak kepada kerajaan negeri.

“Kita berpegang kepada prinsip bahawa kerajaan negeri Sabah seharusnya dipimpin oleh parti tempatan yang memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat tanpa mengetepikan peranan dan kepentingan parti-parti nasional dalam kerangka kerjasama yang lebih luas.

“Menyimpang daripada prinsip ini bermakna kita mengabaikan aspirasi sebahagian besar rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, perjuangan GRS adalah kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat demi masa depan Sabah.

“Seperti yang sering saya tekankan, kerajaan negeri hari ini perlu terus diperkukuhkan kerana ia membawa kestabilan dan mewakili satu bentuk kerjasama yang menyumbang kepada kekuatan Kerajaan Perpaduan di peringkat
persekutuan.

“Mengenepikan aspirasi tempatan dalam konteks politik Sabah adalah tidak selari dengan sentimen rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Sehubungan itu katanya, GRS akan mengadakan mesyuarat kepimpinan dalam masa terdekat untuk menetapkan hala tuju gabungan ini dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Katanya, GRS juga akan mengadakan perbincangan rasmi dengan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri semasa untuk mendapatkan pandangan dan pendirian mereka.

— TAMAT

About the author

Giulietta Capulet

Add Comment

Click here to post a comment