Home » GRS bertanding solo demi maruah rakyat
Politik Sudut Pandangan

GRS bertanding solo demi maruah rakyat

"Dengan adanya Blok Borneo, suara kita akan lebih kuat di Parlimen. Kita boleh menuntut dengan lebih tegas agar hak Sabah dan Sarawak dikembalikan sepenuhnya." - Dr Jurin Gunsalam

Tahun ini, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan diadakan. Ini adalah detik penting bagi rakyat Sabah untuk membuat keputusan yang akan menentukan hala tuju negeri kita. Dalam suasana politik yang penuh cabaran ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu berani mengambil langkah besar – iaitu bertanding secara solo, tanpa bergantung pada parti dari Malaya. Ini bukan soal ego atau menunjuk kuat, tetapi soal maruah, masa depan dan keperluan Sabah untuk mentadbir negeri ini mengikut acuan sendiri.

Sudah terlalu lama kita bergantung pada kuasa luar. Sudah terlalu lama suara rakyat Sabah tenggelam dalam lautan politik acuan Malaya. Inilah masanya kita bangkit, kita bersatu, dan kita bina masa depan yang lebih baik dengan tangan kita sendiri.

GRS adalah gabungan parti-parti tempatan Sabah. Ia ditubuhkan berdasarkan keinginan rakyat untuk melihat kepimpinan yang lebih dekat dengan denyut nadi menurut citra lokal. Bila GRS bertanding sendiri dalam PRN, ia membawa mesej yang jelas: “Kami percaya pada kekuatan rakyat Sabah.”

Bila kita bergantung pada parti luar, kita tidak bebas membuat keputusan. Kita terpaksa tunduk pada kehendak Malaya. Keutamaan mereka bukan untuk Sabah, tetapi untuk menjaga kuasa di peringkat nasional. Ini telah terbukti dalam banyak keputusan yang meminggirkan hak-hak Sabah.

Sebagai contoh, peruntukan pembangunan yang tidak seimbang, kelewatan dalam pelaksanaan projek infrastruktur, dan campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri adalah antara isu yang timbul apabila Sabah terlalu bergantung kepada Malaya. Bila GRS bertanding sendiri, kita bebas menetapkan hala tuju sendiri, tanpa diganggu oleh agenda politik dari luar.

Langkah bijak seterusnya ialah membentuk Blok Borneo bersama rakan seperjuangan kita di Sarawak – Gabungan Parti Sarawak (GPS). Sabah dan Sarawak mempunyai sejarah yang sama. Kita sama-sama menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Kita sama-sama dijanjikan hak dan autonomi dalam pelbagai aspek pentadbiran, kewangan, pendidikan, dan hasil bumi.

Namun, setelah lebih 60 tahun Malaysia dibentuk, banyak janji dalam MA63 masih belum ditunaikan sepenuhnya. Kita masih belum mendapat hasil minyak dan gas yang adil serta hak kewangan 40 peratus dan banyak lagi. Kita masih bergantung kepada pusat untuk membuat keputusan dalam bidang-bidang penting.

Dengan adanya Blok Borneo, suara kita akan lebih kuat di Parlimen. Kita boleh menuntut dengan lebih tegas agar hak Sabah dan Sarawak dikembalikan sepenuhnya. Kita tidak lagi bergantung kepada belas ihsan parti dari Malaya. Kita akan jadi penentu kepada masa depan kita sendiri.

Blok Borneo juga boleh menjadi pemangkin kepada kerjasama ekonomi, budaya dan pendidikan antara Sabah dan Sarawak. Kita boleh berkongsi kepakaran, melaksanakan projek bersama, dan memajukan wilayah Borneo secara menyeluruh.

Apa makna autonomi Sabah? Ia bermakna Sabah bebas membuat keputusan tentang pentadbiran sendiri – dari soal pendidikan, kesihatan, ekonomi, sehinggalah kepada pelantikan pegawai kerajaan. Ia juga bermakna hasil bumi Sabah dikawal oleh kerajaan negeri, bukan Malaya.

Autonomi bukan hanya slogan politik. Ianya penting untuk memastikan pembangunan di Sabah lebih adil dan saksama. Dengan autonomi, kerajaan negeri boleh membuat dasar yang sesuai dengan keperluan rakyat tempatan – orang kampung, nelayan, petani, peniaga kecil dan anak muda.

Sebagai contoh, pendidikan di Sabah perlu diubah suai agar lebih relevan dengan budaya dan keperluan tempatan. Infrastruktur di pedalaman perlu dibina berdasarkan keutamaan kita, bukan keutamaan yang ditentukan oleh menteri di Putrajaya. Hospital dan klinik perlu ditambah di kawasan luar bandar, bukan sekadar mengikut bajet pusat yang sering kali tidak mencukupi.

Kita bukan menolak kerjasama dengan kerajaan pusat. Tetapi kita menolak sikap yang menganggap Sabah hanya sebagai “simpanan tetap”. Bila pilihan raya datang, baru mereka datang menabur janji. Lepas menang, mereka lupa. Rakyat Sabah terus dibiarkan ketinggalan.

Sabah mesti belajar dari pengalaman lalu. Kita tidak boleh lagi membiarkan pemimpin dari luar menentukan hala tuju kita. Kita tidak boleh lagi menjadi seperti kerbau yang dicucuk hidung. Kita ada kebijaksanaan sendiri. Kita ada pemimpin sendiri yang tahu keperluan negeri ini.

Kita mesti berani berkata “tidak” kepada campur tangan yang merugikan rakyat Sabah. Kita mesti pertahankan maruah dan hak kita sebagai rakan setaraf dalam Persekutuan Malaysia.

Rakyat Sabah, inilah masanya untuk bangkit. Masa depan anak-anak kita bergantung kepada keputusan kita hari ini. Jika kita terus membiarkan orang luar menentukan nasib kita, kita akan terus mundur. Jika kita percaya pada pemimpin tempatan, kita boleh bina Sabah yang lebih maju, lebih makmur, dan lebih bermaruah.

GRS perlu diberi mandat penuh untuk mentadbir negeri ini. Bukan kerana mereka sempurna, tetapi kerana mereka adalah suara yang mewakili majoriti rakyat Sabah. Mereka lebih dekat dengan rakyat. Mereka lebih memahami budaya, adat, dan cara hidup kita.

Marilah kita bersatu hati. Jangan berpecah hanya kerana sogokan sementara atau janji kosong. Pilihlah pemimpin yang benar-benar berjuang untuk kita. Bukan pemimpin yang hanya datang bila perlu undi.

Sabah adalah tanah yang kaya. Kita ada hasil bumi, kita ada laut, kita ada hutan, kita ada rakyat yang rajin dan berbakat. Kita cuma perlukan kepimpinan yang jujur, berani dan tidak tunduk kepada kuasa luar.

GRS bertanding solo bukan kerana mahu berlagak, tetapi kerana mahu mempertahankan maruah. Kerjasama dengan GPS bukan kerana mahu memecah-belahkan negara, tetapi kerana mahu memperkukuhkan suara Borneo. Autonomi Sabah bukan pemberontakan, tetapi hak yang termaktub dalam perjanjian yang sah.

Sabah bangkit! Sabah First! Demi maruah, demi tanah air, demi anak cucu kita!

Rumah Kita, Kita Jaga!

*Dr Jurin Gunsalam merupakan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah N6 Bandau dan Setiausaha GRS N6 BandauPenulisan ini adalah berdasarkan pandangan beliau dan tidak semestinya melambangkan pendirian Sabah Baru News

About the author

Giulietta Capulet

Add Comment

Click here to post a comment