Home » Majlis Ulang Tahun Kelahiran Ke-70 Ketua Menteri disambut sederhana, penuh kesyukuran
Berita Tempatan Politik

Majlis Ulang Tahun Kelahiran Ke-70 Ketua Menteri disambut sederhana, penuh kesyukuran

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor disambut oleh tetamu yang menghadiri Majlis Ulang Tahun Kelahiran Ke-70 Ketua Menteri di Dewan Seri Sulaman, Tuaran pada Sabtu.

TUARAN: Suasana penuh mesra dan muhibah menyelubungi Dewan Seri Sulaman pada Sabtu sempena Majlis Ulang Tahun Kelahiran Ke-70, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang disambut dengan sederhana, penuh kesyukuran dan penghargaan.

Majlis itu yang dihadiri oleh pemimpin kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan serta pemimpin masyarakat diadakan bagi meraikan ulang tahun kelahiran pemimpin kesayangan rakyat, yang telah banyak berjasa dalam membangunkan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor diiringi oleh keluarga memotong kek hari jadi pada Majlis Ulang Tahun Kelahirannya ke 70 di Dewan Seri Sulaman, Tuaran pada Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sambutan itu, Datuk Abdul Kassim Razali dalam ucapannya berkata, bukan mudah mendapat izin daripada Hajiji bagi menganjurkan Majlis Ulang Tahun Kelahiran yang sederhana ini, kerana menjadi kebiasaan beliau meraikan hari istimewa itu bersama keluarga dan rakan-rakan terdekat.

Katanya, acara sambutan ini menjadi simbol penghargaan dan pengiktirafan terhadap kepimpinan Hajiji yang terus komited membawa perubahan positif demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan pentas khas mengenai kisah hidup Hajiji, tarian kebudayaan, nyanyian dan jamuan yang membangkitkan semangat kekeluargaan dan kebersamaan antara pemimpin dan rakyat.

— TAMAT