Home » Presiden Jokowi, tokoh politik Indonesia ucap tahniah kepada Anwar
Berita Am Berita Luar Negara

Presiden Jokowi, tokoh politik Indonesia ucap tahniah kepada Anwar

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Anwar, tokoh yang sudah sekian lama dikenali dan dihormati rakyat Indonesia, tulis presiden yang lebih mesra dengan panggilan Jokowi dalam hantaran di akaun media sosialnya pada Jumaat.

“Saya berharap kedekatan tersebut membuat hubungan dua negara serumpun semakin kukuh di semua bidang terutamanya dalam bidang ekonomi, perbatasan dan perlindungan warga negara,” katanya.

Jokowi yang menjadi ketua negara pertama menghubungi Anwar selepas pelantikannya, mendoakan agar Perdana Menteri diberikan kekuatan dan kemudahan dalam memimpin Malaysia.

Turut menzahirkan tahniah ialah ketua umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Megawati Soekarnoputri, puteri sulung Presiden Soekarno dan pernah menjadi presiden kelima Indonesia.

Menurut setiausaha agung PDI-P, Hasto Kristiyanto, kali terakhir kedua-dua pemimpin bertemu pada Oktober 2018 ketika Anwar dianugerahkan gelaran ‘doctor honoris causa’ oleh Universiti Negeri Padang.

PDI-P berharap pentadbiran Anwar cemerlang demi kemajuan Malaysia, merealisasikan kestabilan politik dan meningkatkan kerjasama Indonesia-Malaysia serta kestabilan serantau melalui ASEAN.

Parti politik yang diwakili Jokowi itu juga bersedia menjalin kerjasama dengan parti politik yang ada di Malaysia, khususnya gabungan Pakatan Harapan, kata Hasto dalam satu kenyataan.

– BERNAMA

About the author

Editor SBN

Add Comment

Click here to post a comment