Home » Harimau akar masuk rumah, wanita strok cedera dicakar di kening
Berita Am Berita Dalam Negara

Harimau akar masuk rumah, wanita strok cedera dicakar di kening

LIPIS: Sepasang suami isteri berhadapan detik cemas apabila seekor harimau akar menceroboh masuk ke kediaman mereka di Kampung Sentang, Padang Tengku, di sini, petang semalam

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 itu, harimau berkenaan turut bertindak melompat ke atas katil dan mencakar kening salah seorang daripada mereka.

Ia mengakibatkan Faridah Ishak, 58 tahun, yang merupakan penghidap penyakit strok, mengalami luka kecil di bahagian kening.

Ketua Polis Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata, menerusi maklumat daripada anak saudara pasangan itu, kejadian dipercayai berlaku ketika harimau tersebut sedang mengejar seekor kucing, sehingga masuk ke dalam rumah melalui pintu hadapan yang terbuka.

Kucing itu kemudiannya ditemui mati.

“Melihat seekor harimau akar, suami mangsa yang berusia 55 tahun cuba menghalaunya, tetapi haiwan liar ini telah melompat ke atas katil dan mencakar kening si isteri yang terlantar di atas katil akibat strok.

“Bagaimanapun, mangsa cuma mengalami luka kecil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikutan kejadian tersebut, anak saudara itu membuat laporan di Pondok Polis Pagar Sasak.

“Anggota dari Pondok Polis Pagar Sasak bergegas ke lokasi dan mendapati penduduk telah mengepung harimau berkenaan yang berada di bawah rumah pasangan warga emas ini.

“Renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dihubungi setelah anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba Kuala Lipis yang berada di tempat kejadian tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya.

Jelasnya, renjer Perhilitan yang tiba pada pukul 8 malam berjaya mengawal keadaan dan menangkap haiwan liar tersebut pada pukul 12.45 pagi ini, menggunakan ubat pelali.

“Mangsa yang luka di kening telah dirawat oleh petugas perubatan dari Klinik Kesihatan Padang Tengku dan keadaannya selamat.

“Saya juga menasihatkan penduduk supaya tidak mengambil tindakan sendiri dengan mencuba menangkap haiwan liar yang menceroboh kawasan tempat tinggal, termasuk membunuh hidupan liar terutamanya yang dilindungi oleh kerajaan,” ujarnya.

-astroawani