Home » Bekas Ahli Parlimen Langkawi meninggal dunia di Jerman
Berita Am Berita Dalam Negara

Bekas Ahli Parlimen Langkawi meninggal dunia di Jerman

ALLAHYARHAM NAWAWI AHMAD

ALOR SETAR: Bekas Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad, 61, meninggal dunia awal pagi ini di Frankfurt, Jerman.

Allahyarham yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi berkunjung ke negara itu bagi urusan pekerjaan atas kapasiti beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan berkata, dalam kunjungan itu Allahyarham turut ditemani isterinya, Datin Shabariah Md. Hassan.

“Ketika ini saya difahamkan anak Allahyarham sedang dalam penerbangan ke negara tersebut bagi menguruskan jenazah bapanya. Saya sempat menelefon isterinya dan dimaklumkan ada kemungkinan jenazah dikebumikan di sana. Namun keputusan tersebut belum dimuktamadkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Allahyarham memiliki pengalaman luas dalam bidang politik dan pernah berkhidmat selama sepenggal sebagai Ahli Parlimen Langkawi mulai 2013 hingga 2018.

Sebelum itu beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah antara 2004 hingga 2013.

Beliau bagaimanapun tewas kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Susulan kekalahannya itu, beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak lama selepas PRU14 berakhir, setelah memegang jawatan tersebut sejak Februari 2014.

Pada PRU15 baru-baru ini, nama Nawawi tidak dicalonkan selepas Barisan Nasional (BN) menampilkan muka baharu, Datuk Armishah Siraj yang juga bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada tiga Menteri Besar Kedah. – UTUSAN

UTUSAN

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment