Home » ‘Lockdown’ akibat COVID-19: Protes memuncak di Shanghai, merebak ke bandar lain
Berita Am Berita Luar Negara

‘Lockdown’ akibat COVID-19: Protes memuncak di Shanghai, merebak ke bandar lain

Penunjuk perasaan di Beijing ini kecewa dengan kesukaran hidup akibat peraturan sekatan pergerakan, selain marah dengan insiden kebakaran yang meragut nyawa di Urumqi. – Reuters

Ratusan penunjuk perasaan dan polis bertembung di Shanghai pada Ahad malam (17 November) gara-gara tindakan peraturan ketat dan kekangan pergerakan bagi mencegah penularan COVID-19 yang disifatkan melampau oleh rakyatnya.

Reuters melaporkan, gelombang tentangan awam kini dilihat semakin besar di China, malah yang paling ketara sejak Presiden Xi Jinping berkuasa sedekad lalu. Semuanya berpunca daripada kekecewaan terhadap dasar sifar COVID sejak tiga tahun lalu yang dirasakan terlalu menyulitkan hidup rakyat.

“Saya di sini kerana saya sayang negara saya, tapi saya tak suka kerajaan saya… Saya mahu bebas keluar, tapi tak boleh. Polisi COVID-19 kita ini hanyalah permainan, dan tidak berlandaskan sains atau realiti,” luah seorang penunjuk perasaan di hab kewangan, Shaun Xiao. 

Bantahan seumpamanya juga berlaku di bandar Wuhan dan Chengdu pada Ahad, sementara mahasiswa di serata kampus universiti China turut mengadakan demonstrasi masing-masing pada hujung minggu lalu.

Pada awal pagi Isnin di Beijing, dua kumpulan protes yang berjumlah sekurang-kurangnya 1,000 orang berhimpun di sepanjang 3rd Ring Road berdekatan Sungai Liangma, dan enggan bersurai.

“Kami tidak mahu pelitup muka, kami mahu bebas. Kami tidak mahu ujian saringan COVID, kami mahu bebas,” laung kumpulan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah kejadian kebakaran Khamis lalu di sebuah kediaman bangunan tinggi di Urumqi, hingga menyebabkan kematian 10 orang, juga didakwa disebabkan oleh sekatan pergerakan yang dikenakan.

Pihak berkuasa bagaimanapun menafikan faktor sekatan pergerakan menjadi punca terjejasnya usaha penyelamatan mangsa.

Kebanyakan penghuni di Urumqi, berjumlah 4 juta semuanya, masih berada dalam peraturan lockdown terpanjang, iaitu larangan meninggalkan rumah selama lebih 100 hari.

“Kami hanya mahu hak asasi manusia kami. Kami tidak boleh meninggalkan rumah tanpa melakukan ujian saringan. Apa yang berlaku di Xinjiang membuatkan kami tidak lagi mampu bertahan,” ujar seorang penunjuk perasaan di Shanghai yang enggan namanya disiarkan.

AWANI

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment