Home » Isu Tuntutan Hak 40 % – Hajiji
Berita Tempatan Politik

Isu Tuntutan Hak 40 % – Hajiji

"Saya berharap tidak ada lagi kekeliruan dan salah faham terhadap perkara ini, dan yang paling penting tidak lagi diputarbelitkan kerana ianya boleh menimbulkan kekeliruan kepada rakyat." - Hajijji Haji Noor

Tular kebelakangan ini mengenai salah faham kononnya Kerajaan Negeri Sabah tidak lagi menuntut hak 40 peratus daripada hasil bersih Kerajaan Persekutuan di Sabah seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Hari ini saya telah menjelaskan perkara ini di dalam sidang DUN agar salah faham ini dapat diperjelaskan dan diperbetulkan.

Sepertimana yang kita sedia maklum, untuk 53 tahun iaitu sejak tahun 1969, Kerajaan Negeri menerima amaun pemberian khas yang statik tanpa sebarang peningkatan iaitu hanya RM26.7 juta setahun.

Namun, di bawah pimpinan Kerajaan GRS, susulan kepada beberapa perbincangan dan rundingan yang telah diadakan, akhirnya, pada bulan April yang lalu, buat kali pertama semenjak 1969 kita telah berjaya mencapai kata sepakat yang mana bayaran pemberian khas ditingkatkan.

Saya amat sedar dan tahu bahawa peningkatan pembayaran kepada RM125.6 juta (4.7 kali ganda) yang telah pun kita terima pada tahun ini adalah jauh lebih rendah berbanding apa yang sepatutnya diterima oleh Kerajaan Negeri berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

Justeru, ingin saya tekankan bahawa peningkatan bayaran tersebut diterima tanpa prejudis atas dasar bahawa ia adalah pengaturan secara interim (“interim arrangement”) dan telah menegaskan hak-hak Kerajaan Negeri untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan serta mendapatkan sebarang bayaran tunggakan ke atas ketiadaan semakan semula pemberian khas semenjak tahun 1973.

Kekeliruan telah timbul apabila dokumen pewartaan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D Negeri Sabah) 2022 telah disalah tafsir oleh beberapa pihak.

Bagi membolehkan pembayaran interim tersebut dibuat, Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D Negeri Sabah) 2022 perlu diwartakan. Ini jelas adalah untuk membolehkan pembayaran interim sahaja.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Sabah akan terus berunding untuk menjalankan kajian semula pemberian khas ini. Sekiranya amaun baharu dipersetujui sebelum 2026, maka amaun baharu tersebut akan diguna pakai untuk menggantikan pembayaran khas kepada negeri Sabah.

Saya sendiri telah menyuara dan menegaskan pendirian Kerajaan Negeri di dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 untuk terus menuntut hak 40 peratus daripada hasil bersih Kerajaan Persekutuan di Sabah seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963. Kerajaan Negeri akan pastikan bahawa keperluan dan kepentingan kita akan sentiasa diutamakan dan diperjuangkan.

Saya berharap tidak ada lagi kekeliruan dan salah faham terhadap perkara ini, dan yang paling penting tidak lagi diputarbelitkan kerana ianya boleh menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

Sama-samalah kita berganding bahu dan bekerjasama untuk menuntut hak rakyat Sabah. Sekali saya ingin tegaskan, Kerajaan Negeri Sabah akan terus menuntut hak 40 peratus daripada hasil bersih Kerajaan Persekutuan di Sabah seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Saya juga lampirkan kenyataan media bersama mengenai perkara ini yang bertarikh 14 April 2022.

*YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ialah Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah.

About the author

JABT

1 Comment

Click here to post a comment

  • Datuk Sri Tak payah lagi Kaji², interim² suruh itu Malaya bayar ikut Fakta Perjanjian MA63, Itu saja.. Jangan kasi lama 👍