Home » Aliakbar saran tetapkan tempoh selesai status tanah
Berita Tempatan Politik

Aliakbar saran tetapkan tempoh selesai status tanah

ADUN Lantikan, Dr Aliakbar Gulasan mengutarakan perkara itu dalam soalan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sabah Kali Ke-16, kelmarin memandangkan pemberian status tanah mengambil masa yang lama untuk diselesaikan di negeri ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu menyediakan satu tempoh masa untuk menyelesaikan isu status pemberian geran tanah di Sabah.


ADUN Lantikan, Dr Aliakbar Gulasan menyatakan bahawa, tidak ada satu tempoh penyelesaian pun yang dibentangkan untuk menyelesaikan kes-kes itu.


“Kita tidak mahu isu ini menjadi mainan modal politik sahaja, janji selesai tetapi sebenarnya tidak.


“Isu ini akan menyusahkan orang kampung dan luar bandar kerana tidak dapat mengusahakan tanah dengan senang dan tenang,” ujarnya.


Beliau mengutarakan perkara itu dalam soalan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sabah Kali Ke-16, kelmarin memandangkan pemberian status tanah mengambil masa yang lama untuk diselesaikan di negeri ini.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan


Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menjelaskan bahawa, tunggakan permohonan itu sebenarnya telah mengalami pengurangan sebanyak 86.5 peratus dalam tempoh kurang daripada lapan tahun.


“Berdasarkan statistik permohonan tanah, jumlah tunggakan tanah pada 1 Januari 2015 adalah sebanyak 280,695.


“Tetapi jumlah yang tertunggak ini telah dapat kita selesaikan dan kita telah kurangkan kepada 37,857 setakat 31 Oktober 2022,” katanya yang juga ADUN Apas.


Menurut beliau lagi, proses pertama sehingga pengeluaran geran mengambil masa sebanyak 12 bulan jika tiada apa-apa isu berbangkit melalui Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah, menerusi Program Khas Perkhidmatan Negeri Sabah (PANTAS).


Manakala, permohonan biasa pula akan mengambil tempoh dalam 24 bulan daripada permohonan sehinggalah keluar geran jika tiada ada apa-apa isu yang berbangkit.

— Asreena Yun