Home » Anwar harap pemuafakatan kekal hingga habis penggal
Berita Dalam Negara Politik

Anwar harap pemuafakatan kekal hingga habis penggal

ANWAR Ibrahim Ibrahim (tengah) selepas majlis menandatangani permuafakatan antara gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, semalam. – Pejabat Perdana Menteri

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pemuafakatan yang dibentuk bersama gabungan politik semalam akan berterusan sehingga penggal Parlimen berakhir lima tahun akan datang.

Perdana Menteri berkata, beliau percaya bahawa komitmen gabungan dalam membentuk Kerajaan Perpaduan adalah untuk menyokong sebuah kerajaan yang stabil.

“Semua parti dan gabungan politik yang memasuki perjanjian persefahaman ini sudah menyatakan komitmen mereka untuk terus menyokong saya sebagai Perdana Menteri.

“Jika anda lihat apa yang sudah dirangka, perbincangan yang hebat (intense) untuk memahami dan komitmennya adalah untuk menyokong sebuah kerajaan yang stabil dan harap­nya sehingga penggal berakhir,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangami Permuafakatan Antara Gabu­ngan di Bawah Kerajaan Perpa­duan di Bangunan Perdana Putra di sini, semalam.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pemuafakatan yang dibentuk itu adalah suatu yang sangat menarik dan bermakna dalam sejarah politik tanah air.

Menurutnya, ia juga pen­ting bagi mencapai hala tuju jelas bagi membolehkan kerajaan mengangkat martabat negara sebagai sebuah negara maju.

“Kerjasama ini juga ba­nyak berkait soal tatakelola dan memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih yakin.

“Perakuan ini juga lebih berdasarkan kepada komitmen dan prinsip perjuangan yang disepakati, bukan soal kedudukan atau habuan tetapi lebih kepada soal tatakelola baik dan pemacuan ekonomi,” katanya.

Katanya, beliau terharu de­ngan kepercayaan dan bentuk sokongan serta komitmen sebagai sebuah pasukan mantap sekali gus sebagai satu suara Kerajaan Perpaduan.

Menyentuh soal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pula, Anwar berkata, pemuafakatan ini buat kali pertamanya mengambil kira semangat MA63 dan pertimbangan khusus pembangunan dan prinsip dasar yang menyentuh hak Sabah dan Sarawak.

“Saya juga ingin mengesahkan bahawa draf awal MA63 akan dibentangkan kepada mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan.

“Buat masa ini, segala usaha termasuk draf awal itu terlebih dahulu akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum dibawa kepada saya,” katanya.

Katanya, bagi sidang Parlimen berikutnya, Kerajaan Perpaduan akan menekankan soal tatakelola dan kembali kepada dasar untuk membersihkan jentera kerajaan dan mengelak keterlanjuran yang berlaku dahulu.

Dalam pada itu muafakat tersebut bersetuju menjunjung 18 matlamat dan komitmen demi melindungi dan mempertahankan Perlembagaan negara.

Antara matlamat digariskan termasuk mewujudkan ma­syarakat adil dan negara demokratik progresif, inklusif dan bersatu padu berlandaskan acuan Malaysia dan berteraskan prinsip Rukun Negara.
Ia juga bermatlamat mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan, memperkukuh Demokrasi Berparlimen dan mendukung hak serta kuasa rakyat dan berusaha memantapkan sistem politik negara yang sesuai dengan kehendak serta kepentingan rakyat.

Selain itu, ia turut memelihara Islam sebagai agama Persekutuan sambil memastikanhak masyarakat bukan Islam mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing terus terjamin seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Perpaduan juga bermatlamat mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, di samping menjamin hak rakyat mengguna, mempelajari dan mendapat pendidikan dalam bahasa-bahasa lain seperti termaktub dalam Perkara 152 (tertakluk kepada Perkara 161) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Kerajaan Perpaduan juga akan menegakkan keluhuran dan kedaulatan undang-undang, kebebasan kehakiman dan institusi-institusi awam, dan keberkesanan serta profesionalisme pasukan kese­lamatan.

Selain itu, ia juga akan memperkuatkan dan mengupayakan pemisahan kuasa di antara cabang- cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman Kerajaan Persekutuan dan menjamin kebebasan berfikir, bersuara, bergerak, berhimpun dan berpersatuan kepada semua.

Kerajaan perpaduan juga bermatlamat mengukuhkan sistem pemerintahan Persekutuan yang adil, bertanggungjawab serta demokratik dalam mengimbangi kepentingan negeri- negeri de­ngan kekuasaan kerajaan Pusat.

Pada masa sama, ia juga bermatlamat menjunjung semangat kerjasama, kesetiaan kepada Persekutuan dan perkongsian kuasa secara adil antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah dengan memperkasakan kedudukan politik dan ekonomi saksama mengikut kerangka Perjanjian Malaysia tahun 1963. –UTUSAN

Utusan

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment