Home » Kerajaan negeri perkasa sasaran pendigitalan perkhidmatan – Joachim
Berita Tempatan Politik

Kerajaan negeri perkasa sasaran pendigitalan perkhidmatan – Joachim

Joachim yang juga Menteri KKTP berkata, Pelan Strategik ICT KKTP (2021-2025) telah diwujudkan sebagai panduan untuk memastikan pendigitalan dapat mencapai sasaran. 

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited dalam usaha pendigitalan perkhidmatan demi mencapai sasaran dalam hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).


Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, perkara itu dilaksanakan melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) dan semua organisasi yang terlibat.


Beliau yang juga Menteri KKTP berkata, Pelan Strategik ICT KKTP (2021-2025) telah diwujudkan sebagai panduan untuk memastikan pendigitalan dapat mencapai sasaran. 

ALBUM: Joachim (duduk, tengah), Jamili (dua kiri) dan Ernywati (dua kanan) merakamkan gambar kenangan bersama dengan para pegawai kanan KKTP serta peserta seminar.


“Teras pertama dalam Pelan Strategik ICT KKTP adalah memfokuskan kepada pembangunan sistem aplikasi fungsi teras Kementerian, yang juga disejajarkan dengan komponen-komponen yang terdapat dalam Smart City Framework Malaysia (MSCF).
 
“Sistem aplikasi teras yang telah siap dibangunkan ialah Sistem Maklumat Setinggan dan Sistem Maklumat Perumahan,” katanya ketika merasmikan Seminar ICT Peringkat KKTP 2023 bertemakan ‘SMART CITY: ICT Implementation and Challenges’ di sini, kelmarin.


Beliau berharap sistem berkenaan dapat digunakan sepenuhnya agar data-data berkaitan perumahan dan setinggan dapat dikumpul, data perumahan boleh dianalisa serta digunakan untuk membantu perancangan dan pengurusan perumahan. 


“Data Sistem Pengurusan Setinggan juga dapat dikongsikan dengan kementerian atau jabatan lain untuk tujuan memudahkan perancangan menangani isu bersama yang berkaitan dengan setinggan.


“Dengan adanya daftar dan analisa setinggan, ianya dapat membantu mengatasi masalah seperti pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan penyelesaian lain-lain,” katanya.


Bagi memperkasakan pengurusan kebersihan awam dan sisa pepejal, Joachim berkata, KKTP bersama JPKN sedang membangunkan Sistem Pengurusan Sisa Pepejal yang diharapkan dapat membantu pemantauan pengurusan operasi pembersihan disemua PBT. 


Menurutnya, pembangunan sistem aplikasi akan terus dilaksanakan untuk mewujudkan Data Repository Kementerian bagi menyokong aspirasi Big Data, Open Data diperingkat Negeri dan Nasional.


Turut hadir ialah Setiausaha Tetap KKTP selaku Pengerusi Seminar ICT bagi 2023, Datuk Dr. Jamili Nais; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri selaku Pengerusi bersama seminar ICT peringkat KKTP, Ernywati Dewi Abas serta tetamu kehormat yang lain.

— Yap Siong Han