Home » MOTAC optimis capai 16 juta kemasukan pelancong ke negara ini
Berita Tempatan Politik

MOTAC optimis capai 16 juta kemasukan pelancong ke negara ini

Kementerian Perlancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) optimis mampu mencapai sasaran kemasukan seramai 16 juta pelancong ke negara ini. Foto: TVS

LUNDU: Kementerian Perlancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) optimis mencapai sasaran kemasukan seramai 16 juta pelancong ke negara ini.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan meyakini angka itu mampu dicapai berikutan jumlah kemasukkan pelancong pada suku kedua tahun ini telah melebihi jangkaan asal kementerian itu.

Bagaimanapun kata beliau, usaha untuk terus mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terus giat dilakukan di samping turut menjalin kerjasama dengan setiap negeri menerusi pelbagai program rangsangan pelancongan.

“Pastinya setiap program yang dilaksanakan oleh setiap negeri akan membawa kepada tarikan yang begitu besar kepada pelancong.

“Itu sebabnya kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat mesti diperhebatkan lagi,

“Untuk memastikan industri pelancongan kita lebih rancak, pelbagai program yang dianjurkan itu bukan setakat program bersifat promosi pelancongan tetapi juga program berkaitan seni dan budaya supaya masyarakat diluar sana tahu tentang keindahan kehidupan dan masyarakat kita daripada pelbagai suku serta budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pesta Sematan di Dataran Sematan di sini pada Jumaat.

Bertemakan ‘Sematan Nature Paradise’, pesta tersebut bertujuan untuk mengetengahkan Daerah Kecil Sematan sebagai salah satu pusat ekopelancongan di kawasan selatan Sarawak.

Pesta yang berlansung hingga Ahad itu turut menyasarkan kehadiran seramai 30,000 penganjung dalam kalangan penduduk tempatan dan juga dari luar Lundu.

–TVS