Home » Bertindak pantas atas dakwaan remaja dirogol polis, KDN diberitahu
Berita Dalam Negara Politik

Bertindak pantas atas dakwaan remaja dirogol polis, KDN diberitahu

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, Kementerian Dalam Negeri perlu melindungi kepentingan orang ramai. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak pantas terhadap dakwaan seorang remaja dirogol pegawai polis berpangkat inspektor.


Beliau yang juga ADUN Seri Delima daripada DAP berkata, kejadian itu adalah tuduhan serius ketika polis berdepan pelbagai dakwaan salah guna kuasa.


“Polis perlu sedar mereka tidak kebal daripada tindakan undang-undang sehingga boleh sedemikian berani untuk berbuat sesuka hati dan menyangkakan mereka akan terlepas begitu saja.


“Saya menggesa KDN tidak culas dalam memastikan wujud kesedaran undang-undang dalam kalangan anggota polis.
“KDN tidak boleh terus lembab dan perlu menjadi pembela rakyat, terutamanya dalam hal-hal salah laku polis,” katanya dalam kenyataan.


Beliau berharap Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis akan dikuatkuasakan supaya siasatan ke atas salah guna kuasa dapat dijalankan.


Semalam, sumber dipetik Harian Metro berkata, seorang remaja berusia 16 tahun mendakwa dirogol seorang inspektor ketika berada dalam pejabatnya di sebuah IPD di Kedah pada 6.30 petang Rabu lalu.


Suspek didakwa mengambil kesempatan atas alasan menjalankan siasatan terhadap mangsa yang sebelum itu membuat laporan mendakwa dirogol bapa tirinya.


Sumber itu dilaporkan berkata, unit forensik polis yang menyiasat lokasi kejadian menemui beberapa kesan dipercayai air mani pada cadar serta sarung bantal dalam pejabat inspektor itu.


Pegawai polis berusia 34 tahun itu sudah ditahan, manakala mangsa bersama ahli keluarganya dipanggil ke IPD untuk dirakam keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

— EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment